LARAS BAHASA MELAYU



1.0  Pengenalan

Bahasa merupakan mekanisma perhubungan yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Hubungan antara bahasa dan penuturnya saling berkait rapat kerana sesuatu bahasa yang digunakan tanpa penutur akan menghalang bahasa tersebut dari terus berkembang. Rentetan itu ramai tokoh bahasa dari luar dan dalam negara telah meneliti dan menyelidik perkaitan antara kedua-dua perkara tersebut. Dalam kajian mereka, aspek laras bahasa banyak diberi penekanan. Hal ini kerana laras bahasa ialah unsur yang mengkaji penggunaan kepelbagaian bahasa yang dituturkan oleh masyarakat mengikut sesuatu situasi. Hasil kajian yang dilakukan oleh para sarjana bahasa telah menimbulkan banyak pendapat tentang laras itu sendiri.

   Laras ialah kelainan bahasa yang digunakan oleh penutur dalam kehidupan seharian. Ure & Ellis (1997) mentafsirkan laras sebagai language patterning regularly used in a certain kind of situation, iaitu ia merujuk kepada pola penggunaan bahasa yang lazim digunakan dalam keadaan tertentu. Menurut Ab Razak Ab Karim (2008:1) laras ialah kelainan bahasa yang digunakan oleh penutur dalam kehidupan seharian mereka. Nik Safiah Karim (1982:1) pula mengatakan bahawa laras atau register bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Abdullah Hassan (1987:26) turut memberikan tafsiran bahawa laras ialah pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteks itu adalah sesuatu yang dikatakan sebagai laras bahasa. Kemunculan pelbagai variasi laras bergantung kepada bidang tertentu misalnya iklan sains, undang-undang dan iklan. Tuntasnya, bahasa laras adalah kelainan atau kepelbagaian bahasa yang digunakan mengikut disiplin ilmu yang berbeza. Setiap disiplin ilmu mempunyai istilah khusus yang menandai laras bahasanya.

Laras sangat sinonim dalam kehidupan kita pada hari ini. Bahasa laras ialah satu variasi bahasa berdasarkan penggunaannya mengikut situasi, konteks, makna dan pengertian yang khusus kepada bidang tertentu dan merujuk kepada pemilihan diksi, istilah, frasa dan ayat yang digunakan. Bahasa laras mempunyai retorik yang tersendiri seperti unsur pujukan, pujian, penyataan dan perintah.

Menurut Halliday (1985), ukuran utama sesuatu laras itu dapat dilihat berdasarkan tatabahasa dan perbendaharaan kata yang digunakan. Beliau juga telah menjeniskan laras bahasa berdasarkan tiga faktor yang utama iaitu:

1.      Tajuk wacana (field of discourse)
2.      Cara penyampaian wacana (mode of discourse)
3.      Gaya penyampaian (style of discourse)

Berdasarkan penjelasan beberapa tokoh yang tidak asing dalam dunia kajian laras, dapat dirumuskan bahawa laras ialah variasi bahasa yang berbeza-beza bentuk dan penggunaannya. Justeru itu, setiap laras mempunyai ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya agar penyampaian menjadi lebih berkesan. Justeru itu, untuk tugasan ini pengkaji akan menganalisi contoh iklan produk kecantikan sepanjang kajian ini. Pengkaji akan menganalisis laras bahasa iklan yang digunakan dalam teks yang dipilih dengan menggunakan teori Ure & Ellis.


1.1.  Sorotan Kajian
Kajian Dalam Negara

Bahagian kajian dalam negara boleh dilihat melalui karya-karya akademik, yakni tesis, disertasi dan latihan ilmiah. Dalam hal ini, terdapat dua latihan ilmiah yang telah diteliti iaitu, hasil kajian Rohani Mohd Yusof (1984) dan Nuwairi Haji Khaza‟i (1985).

Rohani Mohd Yusof (1984), telah membuat kajian bagi menyempurnakan tesis bagi peringkat Sarjana di Fakulti Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Tesis yang diselenggarakannya telah memberi tumpuan terhadap penggunaan laras di dalam bidang persuratkhabaran. Bahan kajian beliau didasarkan kepada dua akhbar tempatan yang paling tinggi kadar pembacanya iaitu Utusan Melayu/ Mingguan Malaysia dan Berita Harian/Berita Minggu. Kedua-dua akhbar ini telah dijadikan rujukan oleh beliau yang meliputi pelbagai bidang laras laporan, berita, rencana, ruangan khusus (sastera, budaya, forum, wanita, ekonomi dan fokus), hiburan sehingga ke sukan dan rekreasi. Tinjauan dibuat terhadap beberapa perbendaharaan kata, penggunaan imbuhan dan keseluruhan gaya penyampaian di dalam akhbar tersebut. Bukan itu sahaja, pembentukan kata dan aspek sintaksis dalam pembinaan wacana akhbar tersebut telah diketengahkan dalam kajiannya.

Bagi sorotan kedua pula, Nuwairi Haji Khaza‟i (1985), telah menghasilkan kajiannya dengan memberikan tumpuan ke atas penggunaan laras sosial oleh pekerja-pekerja kilang wanita Melayu sekitar kawasan perindustrian Sungai Way, Pangkalan Chepa Kelantan, Pulau Pinang dan beberapa buah kawasan lain. Kajiannya telah meneliti beberapa aspek iaitu dari segi penggunaan istilah-istilah tertentu, frasa dan juga penggunaan ayat. Beliau lebih menekankan ke atas penggunaan perkataan-perkataan dan rangkai kata tertentu. Beliau mendapati pekerja-pekerja kilang wanita ini mempunyai daya kekreatifan berbahasa kerana berjaya menghasilkan perkataan dan rangkai kata tertentu yang telah diperluaskan maknanya. Hanya dalam kalangan kelompok mereka sahaja yang memahami makna-makna perkataan dan rangkai kata tersebut meskipun perkataan itu berbentuk biasa, namun diberikan makna yang berbeza.


Kajian Luar Negara
Bahagian kajian luar negara boleh dilihat melalui karya-karya akademik, yakni tesis, disertasi dan latihan ilmiah, serta buku-buku dan kertas kerja. Dalam hal ini, terdapat tiga karya, yakni Henrich Straumann (1935), Leech & Short (1966) dan Jean Ure &  Jeffery Ellis (1977).

Jean Ure & Jeffery Ellis (1977) telah meneliti laras bahasa ke atas masyarakat dengan berdasarkan ciri-ciri keperihalan dan ciri-ciri linguistik. Kajian tersebut mendapati sebahagian dari peristiwa yang berlaku dalam keadaan tertentu telah ditentukan oleh masyarakat seperti latar belakang penutur, tajuk yang dibicarakan, cara pemyampaian, perhubungan peribadi, perhubungan sosial dan fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa.

Henrich Straumann (1935) yang mengkaji bahasa dalam bidang kewartawanan dengan melihat laras daripada perspektif pembaca, penulis, pendapat, umum, latar belakang psikologi, dan negara asing. Leech & Short (1966) turut meneliti laras bahasa berdasarkan pendekatan analisis linguistik. Beliau meneliti penggunaan bahasa terhadap aspek leksis, tatabahasa, keindahan bahasa serta ketekstualan.


1.2 Permasalahan Kajian
Dalam keghairahan untuk melariskan jualan pengkaji mendapati seringkali berlaku kesalahan-kesalahan bahasa dari sudut ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Walaupun pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selalu menekan penggunaan bahasa Melayu yang betul melalui kempen tetapi ramai masih tidak mempedulikannya. Malah ada yang berpendapat bentuk bahasa tidak penting dalam iklan asalkan mesej dapat disampaikan kepada pihak sasaran. Oleh hal yang demikian, perkara ini harus dikaji untuk melihat sejauh manakah kesalahan-kesalahan bahasa ini. Pengkaji akan mengenal pasti dan menganalisis ciri-ciri keperihalan dan linguistik dalam teks.
                                                                                                                                             
1.3  Objektif Kajian

Tujuan utama kajian ini ialah seperti yang berikut:
i)                    Mengenalpasti ciri keperihalan berdasarkan teori Ure dan Ellis dalam laras iklan.
ii)                  Menganalisis aspek linguistik yang terdiri daripada aspek kosa kata, ayat dan ketenunan.


1.4 Bahan Kajian
Bahan kajian yang digunakan ialah iklan perniagaan mengenai produk kecantikan iaitu dari keluaran “Aurawhite Beauty”. Iklan ini diperolehi daripada internet dan dipilih secara rawak tetapi haruslah ditulis dalam bahasa Melayu. Pengkaji memilih iklan kecantikan kerana bahan ini mengandungi banyak ciri-ciri keperihalan, linguistik dan unsur estetika untuk dijadikan analisis dan akhirnya sekali menyempurnakan kertas kerja ini.


1.5 Batasan kajian
Kajian laras iklan ini hanya tertumpu pada laras iklan kecantikan dan berbahasa Melayu. Pengkaji membuat kajian ini dengan berpandukan teori Ure & Ellis sahaja dan hanya berfokuskan pada ciri keperihalan, linguistik dan unsur estetika sahaja.

Batasan-batasan ini ditentukan supaya skop kajian tidak menjadi terlalu luas dan dapat menyampaikan ilmu dengan kadar yang lengkap dan menyeluruh. Penentuan batasan- batasan ini membantu pengkaji membuat kajian dalam skop yang betul dan sah.


1.6 Metodologi Kajian

4.0 Kaedah/Metodologi Kajian
ii. Kaedah kepustakaan
Kajian kepustakaan sangat penting dalam penyelidikan ini bagi membolehkan pengkaji mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang mendalam mengenai fokus kajian. Kajian ini melibatkan carian sekunder seperti buku, kertas kerja, jurnal, laporan tesis dan artikel-artikel yang berkaitan. Data sekunder ini digunakan untuk menyokong, menambah dan memperinci serta memperdalam lagi pengetahuan pengkaji. Kajian laras iklan ini disempurnakan dengan kaedah kepustakaan dan pencarian iklan dalam akhbar dan internet. Kaedah kajian kepustakaan di sini bermaksud pengkaji akan menggunakan bahan-bahan ilmiah yang terdapat di perpustakaan sama ada dalam bentuk buku, tesis dan jurnal. Segala bahan-bahan ilmiah ini diambil di beberapa buah perpustakaan, seperti Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Perpustakaan Zaaba Universiti Malaya, dan Perpustakaan Negeri. Pengkaji memilih iklan produk kecantikan sebagai bahan kajian untuk memperlihatkan unsur larasnya. Pengkaji mengupas unsur laras iklan menggunakan teori Ure & Ellis.

iii. Kaedah analisis teks
Kajian ini dilaksanakan menggunakan kaedah kajian yang khusus untuk memastikan penyelidikan ini lebih terarah dan sistematik serta memastikan setiap objektif dan permasalahan kajian yang dikemukakan dapat dianalisis dengan tepat. Kaedah kajian yang dipilih oleh pengkaji ialah kaedah analisis dokumen. Analisis dokumen merupakan satu kaedah penyelidikan yang memberi tumpuan terhadap mesej dengan membuat penelitian secara sistematik terhadap kategori yang dipilih oleh pengkaji. Daripada pemahaman tersebut, pengkaji membuat kesimpulan dan membina pendapat terhadap isu atau aspek yang dikaji (Syed Arabi Idid, 1993). Kaedah analisis dokumen digunakan untuk menganalisis iklan produk kecantikan. Pengkaji mengkaji dan menganalisis jenis-jenis ayat yang terdapat dalam iklan  tersebut.


1.7 Kepentingan Kajian
Kajian ini akan menghasilkan ilmu pengetahuan berkenaan dengan ilmu laras. Dapatan daripada kajian ini juga akan dapat menjelaskan lagi penggunaan jenis-jenis ayat dalam bahan kajian iaitu iklan kecantikan “Aurawhite Beauty” mengikut pendekatan  Ure dan Ellis. Dapatan kajian ini juga dapat digunakan sebagai garis panduan pada masa akan datang. Selain dari itu, diharapkan kajian ini dapat menambahkan lagi koleksi-koleksi kajian laras yang telah sedia ada.


1.8 Definisi Operasional
Dalam kajian ini, terdapat beberapa istilah atau ungkapan yang memerlukan penjelasan agar dapat menimbulkan persepsi yang jelas mengenai maksud perkataan tersebut. Penjelasan terhadap maksud istilah dan ungkapan adalah berdasarkan kepada tajuk kajian iaitu:
“Analisis Laras Iklan dalam Bahasa Melayu”
Laras
Menurut Ab. Razak Ab. Karim (2015:2), laras merujuk kepada kelainan bahasa yang digunakan oleh penutur dalam kehidupan sehari-harian mereka. Seseorang penutur itu akan mengubah larasnya bergantung kepada keadaan ataupun situasi sesuatu peristiwa bahasa itu berlangsung.

S. Nathesan (2008:9) pula mendefinisikan laras sebagai ragam atau variasi bahasa yang memperlihatkan penggunaan leksis bidang, pola-pola penggunaan bahasa mengikut bidang dan ketenunan untuk kesinambungan bahasa. Dalam pola-pola penggunaan bahasa itu, unsur-unsur tatabahasa, iaitu sintaksis dan morfologi dimanipulasikan sesuai dengan laras yang dibicarakan.

Iklan
Etimologi kata iklan ialah daripada bahasa Arab yang bermakna khabar yang disiarkan. Makna khabar ini ialah sesuatu yang hendak disungguhkan, pelawa, ditawarkan dan dijual (Asmah Haji Omar, 1984:1). Kamus Dewan Edisi Ketiga (2014:480) mendefinisikan iklan sebagai pemberitahuan kepada orang ramai melalui surat khabar, TV, radio dan lain-lain. Asmah Hj. Omar (1992) membahagikan iklan kepada dua jenis iaitu iklan perniagaan dan iklan pemberitahuan.

Jenis yang pertama ialah iklan yang khusus untuk perniagaan dan ia berbentuk kepada barangan dan perkhidmatan. Iklan jenis yang pertama ini bertujuan untuk memujuk agar  orang ramai membeli atau menggunakan sesuatu yang diiklankan dan juga memuji barangannya. Jenis iklan yang kedua pula bertujuan untuk memberitahu orang ramai tentang sesuatu berita atau peristiwa seperti lowongan kerja dan kematian. Iklan merupakan satu medium yang berkesan untuk menarik perhatian orang ramai tidak kira melalui media massa ataupun yang terkenal pada era ini, media sosial.


1.9 Penutup
Umumnya, terdapat pelbagai laras dalam bahasa Melayu. Laras iklan merupakan suatu laras yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan berbeza daripada laras-laras yang lain. Keunikan laras iklan terletak pada ciri-ciri yang digunakan, iaitu ciri puji dan pujuk. Ciri ini adalah ciri yang paling ketara jika hendak dibandingkan dengan laras yang lain. Disamping itu, pendekatan Ure dan Ellis merupakan satu kaedah yang sesuai untuk mengkaji laras bahasa kerana ciri-ciri yang dikaji boleh dianggap sebagai menyeluruh. Oleh sebab itu, penggunaan pendekatan ini sangat digalakkan untuk pengkaji lain. Hal ini kerana kajian laras merupakan suatu proses yang perlu dilakukan secara berterusan. Hal ini didasarkan kepada hakikat bahawa laras sesuatu bahasa, termasuklah bahasa Melayu berpotensi untuk bertambah seiring dengan perkembangan zaman dan kebudayaan masyarakat seperti kemunculan bidang ilmu baharu.


Bibliografi
Ab. Razak Ab. Karim, 2012. Kepelbagaian Laras Bahasa Melayu Cetakan Kedua. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Asmah Hj. Omar, 1982. Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan (edisi keempat) Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa et all, 2011. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Winstedt, Richard O. ,1969. Kamus Bahasa Melayu (edisi ke-2). Kuala Lumpur dan Singapura: Marican and Sons.

Post a Comment

0 Comments