Teori Behaviorisme





Teori Behaviorisme merupakan kajian saintifik mengenai tingkah laku manusia.  Perubahan tingkah laku manusia dapat dilihat atau diukur dengan memberi fokus terhadap tingkah laku baharu yang diulang sehingga menjadi tingkah laku lazim.  Teori Behaviorisme mengatakan bahawa pembelajaran berlaku apabila perubahan tingkah laku hasil daripada peneguhan dan maklum balas serta pengajaran.

“...the extreme behavioristic position would be that the child comes into the world with a tabula rasa, a clean state bearing no preconcieved notions about the world or about language, and this child is then shaped by its enviroment slowly conditioned through various schedules of reinforcement” Brown (1987:16)

            Teori Behaviorisme mengatakan bahawa pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku yang boleh diperhatikan, dikawal, dan diramal.  Teori ini mengkaji perhubungan antara rangsangan (stimulus) dan gerak balas (response) apabila pelajar bertindak dalam persekitaran luaran.  Selain daripada itu, teori ini juga melihat perhubungan antara tindakan pelajar dengan pengukuhan rangsangan.  Teori Behaviorisme ini dikenali sebagai teori tingkah laku yang amat mengutamakan pembelajaran kemahiran-kemahiran tertentu khususnya kemahiran fizikal.  Mereka menganggap pembelajaran ialah perubahan yang berlaku pada tingkah laku manusia yang berasaskan situasi-situasi tertentu.

            Ivan Pavlov (1849-1936), seorang fisiologis berbangsa Rusia, telah memperkenalkan konsep pelaziman klasik dalam Teori Behaviorisme.  Konsep ini melibatkan pemasangan antara rangsangsan neutral dengan rangsangan yang akan menimbulkan gerak balas tertentu sehingga rangsangan yang sebelumnya yang bersifat neutral itu akan berupaya menghasilkan tindak balas.  Teori ini mengatakan bahawa minda seperti “kotak hitam” yang bermaksud respons terhadap stimulus boleh diperhatikan secara kuantitatif dan mengabaikan kemungkinan akan proses pemikiran yang berlaku dalam minda.

            Edward Lee Thorndike pula telah memperkenalkan teori bagaimana kejayaan dan kegagalan memberi kesan kepada kelakuan organisma. Beliau menekankan kesan pengaruh peristiwa dan akibat yang membawa kepada perubahan tingkah laku manusia dan haiwan. John Bradus Watson (1878-1958) merupakan ahli psikologi pertama menggunakan perkataan “behaviorisme”. Kajian beliau sangat dipengaruhi oleh model pelaziman klasik Pavlov.  Beliau telah mengatakan bahawa perbezaan antara manusia ialah pengalaman. Pengalaman yang baik boleh diubah menjadi pengalaman yang buruk. Tambahan beliau, rangsangan yang didedahkan dan jenis gerak balas akan mempengaruhi pengalaman pembelajaran.

            Burrhus F. Skinner (1904-1990) pada tahun 1938, dalam buku terbitan beliau yang berjudul Behaviour Of Organism, telah memperkenalkan Teori Pelaziman Operan Skinner dengan menggunakan tikus dan Kotak Skinner. Walaupun tikus jauh berbeza dengan manusia, namun Skinner telah mengandaikan bahawa segala konsep berkaitan dengan tingkah laku tikus boleh diaplikasi ke atas manusia. Tambahan lagi, B.F. Skinner mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan dengan keupayaan mempelajari bahasa. Keupayaan bertutur adalah satu bentuk perlakuan manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa yang terbentuk berdasarkan prinsip Teori Behaviorisme.

            Teori Behaviorisme menekankan kepentingan persekitaran dalam pembelajaran bahasa yang berlandaskan Teori Pelaziman Operan. Menurut Skinner lagi, pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga yang lain mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu. Ganjaran yang diberi adalah untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul yang berjaya dilakukan oleh kanak-kanak. Antara ganjaran yang diberikan adalah pujian seperti ”pandai”, senyuman, ciuman, tepuk tangan, pelukan, dan lain-lain yang boleh merangsang kanak-kanak bercakap. Namun, jika kanak-kanak itu gagal untuk melakukan sesuatu dengan betul, ibu bapa boleh menegur mereka.  Menurut Skinner, peneguhan boleh bersifat peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan, prinsip Premack, dan pelupusan. Selain itu, terbentuknya hasil belajar atas dasar adanya reaksi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak. Penerapan konsep Teori Behaviorisme ini juga memerlukan guru untuk melakukan analisis kemampuan awal dan karakteristik kanak-kanak, dengan maksud agar apa yang akan dibelajarkan sesuai dengan keadaan bagi pembelajaran.

            Kesimpulannya, Teori Behaviorisme merupakan teori yang menggunakan hubungan ‘stimulus-respon’ yang menghasilkan tingkah laku. Teori ini mengutamakan pengukuran, sebab pengukuran merupakan suatu hal penting untuk melihat terjadi atau tidaknya perubahan tingkah laku tersebut. Antara tokoh-tokoh aliran behaviorisme, teori Skinner yang paling besar pengaruhnya terhadap perkembangan Teori Behaviorisme. Namun, Teori Behaviorisme tidak mampu menjelaskan situasi belajar yang kompleks. Hal ini disebabkan banyak hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan atau belajar yang dapat diubah menjadi sekadar hubungan stimulus dan respon.




Post a Comment

5 Comments

  1. Terima Kasih. Mohon minta izin untuk digunakan di dalam slides saya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sila sila. Terima kasih berkunjung ke sini 🥰🥰

      Delete
  2. Syukran cikgu nana...terbaikkk...

    ReplyDelete
  3. thankyouuu . sangat membantu dalam memahami teori ni !

    ReplyDelete