Teori Konstruktivisme





Satu pandangan baru tentang ilmu pengetahuan dan cara bagaimana manusia memperoleh ilmu pengetahuan telah mula mendapat perhatian dalam kalangan para pengkaji psikolinguistik seluruh dunia.  Pandangan baru ini menganggap pelajar bukan hanya menerima pengetahuan secara pasif daripada pengajarnya tetapi membina pengetahuannya melalui interaksi dengan persekitarannya.  Pandangan ini juga dikenali sebagai konstruktivisme.


Konstruktivisme merupakan satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada.  Dalam proses ini, pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan  pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.



“Constructivism is an approach to teaching based on research about how people learn.  Many researchers say that each individual constructs knowledge rather than receiving it from others.” (McBrien & Brandt,1997)



Teori konstruktivisme ini dicipta oleh Barlett pada tahun 1932 (Good and Grophy, 1990).  Ahli-ahli teori konstruktivisme berpendapat bahawa pelajar boleh membina fakta sendiri berdasarkan pengalaman.  Oleh itu pengetahuan diri yang berpunca daripada pengalaman lepas, struktur pemikiran yang terbina, dan kepercayaan diri akan menolong pelajar memahami perkara baru.  Apa yang pelajar ketahui hanya terhad kepada pengalaman fizikal dan sosial yang pernah mereka alami (Jonassen,1991).



“They are constructing their own knowledge by testing ideas and approaches based on their prior knowledge and experience, applying these to a new situation and integrating the new knowledge gained with pre-existing intellectual constructs.” (Brinner, M.,1999)



Teori konstruktivisme membaiki kelemahan yang ada pada teori pembelajaran behaviorisme yang terlalu menekankan kepada pembelajaran berpusatkan kepada guru.  Kaedah pembelajaran yang disarankan memberi tumpuan kepada motivasi dan keupayaan membina pembelajaran individu itu sendiri.  Konstruktivisme digabungkan dengan teori kognitif kerana tumpuan kepada keupayaan pelajar membina makna secara mental di persekitaran mereka.



“In the contructivist theory the emphasis is placed on the learner or the student rather than the teacher or the instructor.  It is the learner who interacts with objects and events and thereby gains an understanding of the features held by objects or events.  The learner, therefore, constructs his/her own conceptualizations and solutions to problems.  Learner autonomy and initiative is accepted and encouraged.” (Sushkin, N., 1999)



Menurut teori ini pembelajaran adalah satu proses membina pengetahuan bukan setakat menerima pengetahuan sahaja.  Dalam erti kata lain pengajaran adalah proses menyokong pembinaan pengetahuan.  Teori konstruktivisme ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:



a)  Cognitivist Constructivisme
Merujuk kepada teori pembelajaran kognitif yang disarankan oleh Piaget.  Teori ini mengatakan bahawa pengetahuan perlu dibina secara aktif dan berkait rapat dengan struktur kognitif sedia ada individu.  Aktiviti pembelajaran direka untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan secara individu.



b)  Sociocultural Constructivisme
Merujuk kepada pembinaan pengetahuan melalui proses sosial seperti interaksi, penglibatan, dan perhubungan.  Aktiviti pembelajaran direka untuk meningkatkan perhubungan sosial melalui pembelajaran koperatif, penyelesaian masalah berkumpulan, dan sebagainya.
Model bagi pembelajaran konstruktif terbentuk dengan mengambil kira asas dan teori kognitif, sosial.  Model Constructivist Learning Environment (CLE) ini dibina oleh Janssen (1999).  Terdapat enam komponen penting iaitu:



a)         Soalan/Kes/Masalah/Projek.
           Merujuk kepada soalan, kes, masalah, dan projek yang perlu diselesaikan.
           Perlu merujuk kepada pencapaian objektif pelajaran.
           Soalan perlu bertujuan untuk membentuk pembelajaran.
           Soalan boleh dinyatakan dalam bentuk konteks, persembahan, simulasi, dan manipulasi.



b)         Perkaitan Kes
Untuk memahami persoalan yang diajukan memerlukan pengetahuan pembinaan model mental.  Perkaitan kes dengan pengetahuan pelajar boleh dilakukan dengan mengaitkan pengalaman pelajar atau menerangkan terperinci ciri-ciri kes tersebut.  Penerangan ciri-ciri ini akan membentuk struktur kognitif pelajar.



c)         Sumber Maklumat
Maklumat diperlukan untuk membina model mental pelajar.  Maklumat yang disampaikan perlu difahami dengan lebih jelas sebelum pelajar membuat hipotesis untuk menyelesaikan masalah.  Maklumat boleh dinyatakan dalam pelbagai bentuk, antaranya dokumen, grafik, bunyi, video, dan animasi.



d)         Alat Kognitif
Alat ini digunakan untuk mengenalpasti struktur aktiviti yang diperlukan untuk penyelesaian masalah.  Sebagai contoh alat kognitif seperti perisian Mathlab yang menunjukkan hubungan matematik.



e)         Alat Perbualan Dan Kolaboratif
Alat ini boleh digunakan oleh pelajar untuk berkongsi maklumat dan membolehkan pelajar berkerjasama dalam melaksanakan tugas menyelesaikan masalah.  Sebagai contoh penggunaan Computer - Supported Intentional Learning Environment (CSILEs) membenarkan pelajar berkongsi maklumat melalui pangkalan data antara satu sama yang lain.



f)         Sokongan Sosial
Pembelajaran memerlukan penyediaan persekitaran yang membenarkan perhubungan sosial.  Sokongan boleh didapati dengan mengadakan seminar atau bengkel.



Kesimpulannya, teori konstruktivisme mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk diaplikasikan sebagai alat kognitif yang baik.  Teori ini sangat sesuai untuk pembelajaran yang melibatkan pengetahuan dan pengenalan sebelum pengetahuan lanjutan dalam persekitaran proses pembelajaran.  Teori konstruktivisme yang berbentuk dinamik, membolehkan pelajar menggunakan imaginasi dan pemikiran untuk membuat interpretasi makna yang sesuai dengan konteks pengetahuan dan pengalaman pembelajaran.  Tambahan, teori konstruktivisme memerlukan penglibatan yang aktif para pelajar untuk menyatakan idea dan menulis secara kritis agar membantu meningkatkan pencapaian mereka dalam setiap mata pelajaran.


Bukan itu sahaja, teori konstruktivisme merangsang minda dan dapat  membantu pelajar memperoleh dan menguasai pengetahuan dengan kaedah yang mudah.  Teori ini juga menggalak pelajar untuk mendapatkan pemahaman dan pencapaian yang lebih tinggi dan signifikan.  Di samping itu, konsep kerjasama dan pembelajaran dalam kumpulan juga dapat diterapkan melalui pembelajaran berdasarkan teori ini.  Ahli Konstruktivis percaya bahawa pelajar yang belajar secara berkumpulan akan dapat belajar dengan lebih baik dan berupaya meningkatkan prestasi mereka.

Post a Comment

0 Comments