Pendapat Tentang Falsafah Pendidikan Kebangsaan




Pendahuluan
Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam usaha memperkembangkan potensi individu ke tahap yang cemerlang jika diberi peluang secukupnya. Pendidikan mampu melahirkan individu berilmu, berakhlak mulia, berbudi perkerti tinggi, bertanggungjawab, berketrampilan dan sebagainya. Pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku ke atas individu yang lahir hasil daripada proses pendidikan yang holistik melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Proses mendidik pelajar perlu berlangsung secara sistematik kerana proses ini akan mengalami banyak kekangan sehingga tidak mendatangkan hasil yang diingini. Bagi mendapatkan sistem pendidikan yang sistematik, ia perlu menepati asas atau falsafah pendidikan yang kukuh yang menjadi dasar pendidikan. Falsafah pendidikan menjadi teras kepada sistem pendidikan kerana dalamnya terkandung matlamat yang hendak dicapai, kaedah pelaksanaan pendidikan yang akan digunapakai dan ciri-ciri yang hendak dibentuk dalam seseorang individu itu. 

Pengertian Falsafah
Falsafah menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bererti pengetahuan tentang ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain. Falsafah berasal daripada perkataan Yunani iaitu phileo yang bermaksud cinta dan sophia yang bermaksud kearifan, kebijaksanaan atau hikmah. Cantuman kedua-duanya memberi erti cinta kepada kearifan, kebijaksanaan atau kehikmahan.
Tokoh-tokoh klasik falsafah yang terkenal seperti Socrates (469-399 S.M) memberi penjelasan bahawa falsafah bermula dengan pencarian (wonder), Aristotle (384-322 S.M) pula menyatakan falsafah sebagai usaha menyelidik sebab serta asas kepada segala benda. Manakala John Dewey (1859-1952) pula menyatakan falsafah adalah arah keseluruhan proses pendidikan. Al-Farabi (339-950 M) seorang ahli falsafah Islam menyatakan falsafah sebagai ilmu pengetahuan tentang alam yang maujud dan falsafah adalah untuk menyelidik hakikat alam maujud yang sebenar. Beliau juga menyatakan bahawa falsafah adalah pokok kepada segala ilmu.
Secara konsepnya, falsafah adalah sebagai suatu usaha mencari kebenaran atau keyakinan berhubung perkara yang menggunakan minda dan akal fikiran juga sebagai pertimbangan terhadap suatu perkara yang berasaskan kepada kebenaran bagi memberi penjelasan tentang sesuatu. Menurut Sharifah Alwiah (1985), berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dilakukan falsafah adalah sebagai sesuatu penyiasatan yang bersifat sistematik komprehensif dan logik tentang asas-asas pemikiran bagi semua aktiviti manusia dalam bidang-bidang sains, seni, agama dan pendidikan.

 Falsafah Pendidikan
Falsafah pendidikan dianggap sebagai satu asas kepada aktiviti pendidikan yang mencerminkan pemikiran dan falsafah sesebuah negara. Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) menjadi asas kepada pembentukan sistem dan Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pelajaran 1961. Ketiga-tiga dokumen ini menegaskan perpaduan sebagai matlamat utama negara. Di samping itu usaha-usaha juga mesti dilaksanakan untuk memajukan aspek-aspek pembangunan bangsa dan negara meliputi kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Ia adalah sebagai langkah permulaan dalam proses pendidikan dan sebagai asas pergantungan kepada unsur-unsur yang terdapat dalam pendidikan seperti matlamat, isi kandungan pendidikan, pendekatan, strategi dan kaedah proses pengajaran. Menurut Abdul Fatah (2001), falsafah pendidikan adalah suatu sistem kepercayaan, pegangan dan prinsip am yang membincangkan berbagai perkara mengenai pendidikan dan pengajaran yang patut dijalankan di sekolah.
Falsafah dapat menjelaskan tujuan kepada segala usaha untuk memajukan sistem pendidikan negara, berperanan sebagai asas atau dasar dalam menentukan matlamat pendidikan negara, dapat memberi panduan dalam menentukan fokus dan kandungan kurikulum pendidikan. Falsafah juga dapat menunjuk arah kepada pelaksana iaitu sekolah dan institusi pendidikan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta sebagai asas dan memberi arah kepada penghasil dasar pendidikan menentukan corak sistem pendidikan negara.

Sejarah Pembentukan Falsafah Pendidikan Negara
Dari sudut sejarah, falsafah pendidikan negara lahir daripada proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia semenjak merdeka lagi. Sejak itu, kita telah berusaha untuk membina satu sistem pendidikan yang berteraskan falsafah, budaya dan nilai "bangsa Malaysia" sendiri dan berdasarkan matlamat pembangunan yang sesuai dengan keadaan dan keperluan bangsa kita. Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara holistik untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan kepada Tuhan.  Di negara kita falsafah pendidikan negara telah difikirkan sejak awal 1980-an lagi dan telah diisytiharkan pada tahun 1988. Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang diterbitkan pada 1979 adalah permulaan kepada pembentukan Falsafah Pendidikan Negara yang lebih jelas. Penyataan Falsafah Pendidikan Negara adalah seperti berikut: 
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan keluarga."(Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988) Dalam Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Negara mengalami sedikit tambahan dalam perkataannya dan kemudiannya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini telah digubal dengan mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara (Mok Soon Sang 1993). Pengubalannya juga memerlukan pertimbangan dibuat ke atas beberapa faktor iaitu :
i.                     faktor agama yang dianuti oleh rakyat
ii.                  faktor sosial yang meliputi struktur masyarakat dan kebudayaannya
iii.                faktor politik yang menentukan ideologi negara yang juga mempengaruhi dasar pendidikan
iv.                faktor ekonomi yang mempengaruhi matlamat pendidikan dalam usaha memebawa pembangunan dan kemajuan Negara
v.                  faktor individu yang berkaitan dengan keperluan-keperluan asas dan faktor sejagat yang berkaitan dengan pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan keupayaan rakyat memberi sumbangan ke arah persefahaman antarabangsa

Kesan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap Sistem Pendidikan Malaysia
Sejak diisytiharkan, FPK telah menjadi agenda utama dalam reformasi pendidikan dan telah membawa pelbagai implikasi atau kesan kepada sistem pendidikan di Malaysia iaitu:
1.      Kesan Terhadap Tradisi dan Budaya Sekolah
Perubahan-perubahan sangat penting bagi tujuan keselarian falsafah pendidikan. Disamping itu penyusunan semula organisasi sekolah dalam mewujudkan suasana kondusif bagi membolehkan pelajar menghayati matlamat dan aspirasi FPK, antaranya ialah:
· Menaiktaraf fasiliti sedia ada di sekolah bagi membantu mengembangkan potensi pelajar berdasarkan jasmani, emosi, rohani dan intelek
· Perkenalkan aktiviti sosial yang menggalakkan perkembangan budaya sekolah untuk penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar
· Perubahan dalam suasana pembelajaran sekolah bagi menggalakkan perkembangan potensi intelek pelajar dalam bidang baru ( cth: ICT), suka kepada ilmu pengetahuan dan mengukuhkan budaya membaca
· Aktiviti ko-kurikulum menjadi komponen yang penting dalam kurikulum sekolah bagi mengembangkan aspek emosi dan sosial pelajar untuk mewujudkan perpaduan,
2. Kesan Terhadap Reformasi Pendidikan
Sejak merdeka, sekolah telah melalui berbagai peringkat reformasi dalam sistem pendidikan, antaranya:
· Perkenalkan sistem pendidikan bersepadu pada 1965,
· Perkenalkan Sains Paduan dan Matematik Moden pada 1971
· Pelaksanaan KBSR untuk sekolah rendah pada 1983
· Pelaksanaan KBSM untuk sekolah menengah pada 1989
· Perkenalkan matapelajaran Sains dan Kajian Tempatan pada 1994
· Pelaksanaan Konsep Sekolah Bestari pada 2000
· Penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran matapelajaran Matematik, Sains dan Teknikal pada 2003
3. Kesan Terhadap Tanggungjawab Guru
Guru sebagai agen perubahan untuk mendidik dan melahirkan generasi masa depan, bertanggungjawab merealisasikan matlamat dan aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu mendidik pelajar menjadi warganegara berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, berkeupayaan mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara. Selain itu, guru berperanan mendidik pelajar supaya mempunyai pelbagai kemahiran hidup dan membawa inovasi untuk memenuhi hasrat dan keperluan individu, masyarakat dan negara.
Bagi tujuan ini, guru-guru perlu berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran profesional yang terkini dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, disamping menjadi role model kepada pelajar-pelajar mereka.
Di peringkat sekolah, peranan guru dalam merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah meliputi tugas-tugas seperti menganalisis objektif kurikulum dan isi kandungannya bagi menentukan keperluan pelaksanaannya. Guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan juga penyediaan bahan-bahan pelajaran, merancang dan melaksana pengajaran mengikut saranan kurikulum serta membuat penilaian bagi mengenal pasti kekurangannya untuk tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan kurikulum. Selain itu, guru perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum serta khidmat sosial bagi kepentingan para pelajarnya (Abu Bakar & Ikhsan 2003).

Peranan Warga Guru Dalam Pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Mempersiapkan generasi hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru dalam era globalisasi terletak dalam tangan para guru di pelbagai peringkat amat mememerlukan kesedaran tinggi bagi memeperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikaikan dan di pandang rendah. Warga guru perlu mempertingkatkan profesional mereka dengan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Profesion perguruan masa kini telah menjadi semakin kompleks hasil daripada perkembangan dan kemajuan dalam bidang pendidikan. Perkembangan dan perubahan drastik dalam sektor ekonomi, sains, teknologi dan komunikasi misalnya menuntut warga guru meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang tersebut.
Profesion guru terutama dalam zaman yang mencabar ini bukanlah semudah yang disangka. Sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu tetapi dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan oleh negara.

Penutup
Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah menjadi landasan kepada sistem pendidikan kebangsaan. Ia juga adalah gambaran cita-cita serta hala tuju kepada semua usaha dan perjuangan rakyat negara ini melalui proses pendidikan. Semua program dan aktiviti pendidikan adalah terbitan daripada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dapat direalisasikan dan tidak bermakna jika ianya tidak dapat difahami dan dihayati serta dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan. Tanggungjawab dalam merealisasikan hasrat ini terletak dibahu guru dalam menerapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kepada pelajar-pelajar.
Warga guru sebagai pelaksana segala agenda dalam bidang pendidikan adalah insan yang bertanggungjawab dalam menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu sistem pendidikan itu sendiri. Sehubungan itu, guru seharusnya memperkembangkan profesionalisme mereka dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui penglibatan di dalam segala latihan yang berkaitan dengan mendapat sokongan padu dan galakan daripada pihak pengurusan pendidikan.






Post a Comment

6 Comments