Analisis Hikayat Raja Pahang


Penutur Bahasa Melayu sebenarnya telah menggunakan pelbagai laras dalam urusan komunikasi harian. Tanpa mereka sedari, penggunaan laras sebenarnya sangat bergantung kepada faktor utama seperti tempat atau situasi. Kepelbagaian penggunaan laras ini telah menyumbang kepada faktor kefahaman apabila membicarakan sesuatu perkara atau topik dan ianya akan dihuraikan melalui kajian ini. Secara umumnya, mengikut keterangan dalam buku Kepelbagaian Laras Bahasa Melayu oleh Prof Ab Razak bin Ab Karim, laras merupakan kelainan bahasa yang digunakan oleh penutur dalam kehidupan seharian mereka dan sebarang perubahan bakal bergantung kepada situasi atau keadaan. Mengikut Asmah Haji Omar pula, laras bahasa mendefinisikan tentang kelainan bahasa yang digunakan mengikut bidang tidak kira sama ada bidang sosial atau keilmuan. Melaluinya, wujud kepelbagain istilah khusus yang mendukung gaya penyampaian sesuatu bidang tertentu. Istilah-istilah inilah yang membezakan laras sesuatu bahasa.
Bukan itu sahaja, Abdullah Hassan juga ada mengatakan bahawa laras adalah pemakaian kata-kata tertentu yang bersesuaian dengan konteks tertentu. Menurutnya, ciri laras yang digunakan mengikut kesesuaian merupakan petanda bagi pengolahan bahasa yang baik kerana wujudnya hubungan antara isi dan perkara yang hendak disampaikan. Bukan tokoh tempatan sahaja yang menyatakan definisi atau maksud laras bahasa, malah ada juga beberapa sarjana Barat yang mendefinisikannya. Misalnya mengikut Malinowski yang mana merupakan orang pertama yang mengkaji laras, beliau berpendapat bahawa laras adalah kaedah yang digunakan untuk menjelaskan perbezaan perlakuan bahasa oleh seseorang individu.
Kajian berkaitan sosiologi manusia telah memperlihatkan wujudnya hubungan antara komunikasi manusia dengan hal sesuatu perkara yang ingin disampaikan. Beliau berpendapat lagi bahawa konsep pertuturan adalah lebih bermakna sekiranya dilaksanakan selaras dengan bidang atau topik yang sedang diperkatakan begitu juga sebaliknya. Menurut Halliday pula, beliau beranggapan bahawa teori laras ini sebagai suatu detik permulaan bagi kajian bahasa dan sosial. Ianya merupakan suatu kajian terhadap bentuk potensi kelakuan manusia mengikut keadaan manusia dalam sesuatu kelompok masyarakat bahasa.Setelah kajian ini semakin berkembang, maka ia akhirnya telah dikenali sebagai kajian laras bahasa. Bagi kepelbagaian ciri-ciri laras bahasa pula telah disebut oleh Quirk dan Greebaum di mana mereka telah menurunkan enam jenis cirinya merangkumi aspek daerah, pendidikan, kedudukan  sosial, tajuk yang diperkatakan, cara penyampaian, sikap dan gangguan. Setiap satunya mempunyai perkaitan dan hubungannya yang tertentu seterusnya membentuk satu maksud laras yang sempurna. Melalui pendekatan konsep laras yang diketengahkan, maka kita akan turut melihat kepada kepelbagaian laras bahasa yang ada antaranya ialah laras ilmiah, masakan, perubatan tradisional, hikayat dan banyak lagi. Namun bagi kajian ini, hal berkaitan laras Bahasa Melayu Klasik dan hikayat akan dikupas sepenuhnya melalui ciri keprihalan dan linguistik. Melalui ciri berkenaan, kita turut bakal menghuraikan aspek situasi luaran, persekitaran, kosa kata, ayat dan ketenunan.
Ini merupakan pendekatan yang digukan oleh Ure dan Ellis untuk mengkaji tentang sesuatu laras bahasa. Bagi pemilihan data, kami telah memilih teks sastera Sejarah Melayu yang terdapat di dalam karya sastera klasik agung iaitu Sulalatus Salatin. Sememangnya diakui bahawa terdapat banyak bab di dalam Sejarah Melayu yang sangat menarik untuk dikaji dan antaranya ialah pada bab 15 iaitu Hikayat Sultan Pahang. Teks sastera sejarah ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu sebelum mendapat perhatian dari sarjana Barat dalam urusan penterjemahan kepada bahasa asing.
Karya ini telah ditulis dengan gaya yang menarik dengan menjurus kepada gaya sastera. Meskipun selalu dikatakan bahawa gaya penyampaian sastera klasik terdahulu adalah melalui lisan iaitu penglipur lara, ianya adalah langkah yang sangat berkesan untuk menurukan sesuatu cerita sejarah tertentu.
Teks Sejarah Melayu ini sendiri adalah dianggap sebagai teks terawal dalam sejarah penulisan karya sastera. Karya ini diangkat sebagai karya agung kerana segala macam sifat keindahan sastera berada di dalamnya yang merangkumi mitos, kedatangan Islam, penurunan takhta dan sebagainya. Dalam laras Bahasa Melayu Klasik dan hikayat ini, terdapat beberapa ciri umum yang dapat dikenalpasti oleh kami antaranya dari segi ciri keperihalan serta ciri lingusitik.

2.0       OBJEKTIF KAJIAN
·         Mengenalpasti kewujudan laras Bahasa Melayu yang ada di dalam prosa klasik berjudul Hikayat Raja Pahang.
·         Menganalisis dan menghuraikan bentuk laras Bahasa Melayu yang ada di dalam Hikayat Raja Pahang melalui kedah tertentu.
·         Merumuskan ciri laras Bahasa Melayu yang paling dominan melalui Hikayat Raja Pahang.

3.0        KAEDAH KAJIAN
·         Kepustakaan
Kami telah pergi ke Perpustakaan Akademi Pengajian Melayu serta perpustakaan utama Universiti Malaya untuk mendapatkan beberapa buku rujukan berkaitan Sulalatus Salatin dan sejarah kesusasteraan Melayu.

4.0       SKOP DAN BAHAN KAJIAN
Fokus kajian kami hanya bertumpu kepada konsep, ciri dan sifat laras Bahasa Melayu yang ada di dalam Hikayat Raja Pahang. Hikayat Raja Pahang merupakan subtajuk dalam Sejarah Melayu yang mana merupakan salah satu bab di dalam karya utama, Sulalatus Salatin.  Kami menggunakan teori Ure Dan Ellis yang merangkumi beberapa ciri tertentu.
  
5.0       HASIL KAJIAN
5.1       CIRI KEPRIHALAN
5.1.1 SITUASI LUARAN
Situasi luaran merupakan perkara yang berkaitan dengan sejarah sosial dan budaya yang berlaku dalam sesebuah kelompok besar masyarakat yang diperkatakan menurut topik yang tertentu. Misalnya, terdapat pelbagai kejadian atau peristiwa yang berlaku pada zaman kesultanan atau masyarakat terdahulu ada diberitahu dalam kisah Hikayat Raja Pahang ini. Latar belakang masyarakat dalam teks ini pula ada tentang menceritakan masyarakat yang tertutup yang hidup dalam sistem feudal. Dalam sistem ini, struktur susun lapis masyarakat dianggap sangat penting. Kuasa pemerintah terletak pada sultan dan sultan pula menduduki taktha yang tertinggi dalam sistem pemerintahan. Seterusnya pula diikuti oleh golongan pembesar yang membantu sultan  dalam pentadbiran.
Pada zaman Melayu Melaka, kata-kata sultan wajib dipatuhi. Sesiapa yang tidak mematuhi akan dianggap derhaka seterusnya boleh dijatuhkan hukuman. Teks ini ada menceritakan bagaimana kuasa raja itu tidak boleh dibantah. Misalnya ketika Raja Melaka menyatakan hasratnya untuk memiliki Tun Teja meskipun dia adalah tunangan orang. Ketika itu,  tidak ada seorang pun berani membantah titah baginda padahal perbuatannya itu adalah salah.
 Sebagai contoh, apabila upacara penabalan Sultan ‘Abdul Jamal oleh Seriwa Raja telah selesai, rombongan Seri Dewa Raja itu telah bersiap untuk kembali semula ke Melaka. Meskipun begitu,  Sultan ‘Abdul Jamal bertitah agar mereka tinggal di Pahang buat sementara waktu. Dengan berat hati, Seri Dewa Raja menurut perintah Sultan ‘Abdul Jamal untuk tinggal di Pahang. Demikianlah bukti yang jelas menunjukkan kehendak sultan harus dipatuhi. Berikut merupakan petikan titah Sultan Abdul Jamal kepada rombongan yang dinyatakan dari teks ini;

“ Maka  Seriwa Raja pun mohonlah kepada Sultan Abdul Jamal hendak kembali ke Melaka. Maka titah Sultan Abdul Jamal kepada Seriwa Raja, ‘’Nantilah dulu, mari kita pergi menjirat gajah, karena musim ini gajah akan turun. Terlalu sekali tuan kesukaannya orang menjirat gajah’’..’Tuanku, jikalau ada karunia tuanku patik mohon juga kembali karena jikalau patik tiada keluar nescaya angin turunlah, jadi lamalah patik di sini, murka kelak paduka adinda akan patik. Tetapi hati patik terlalulah sangat hasrat hendak melihat orang menjirat gajah,……’’
[Hikayat Raja Pahang, muka surat 179]

Selain keperluan pematuhan terhadap perintah sultan, masyarakat dahulu juga ada mengamalkan dan mempunyai ilmu hitam seperti pukau. Pukau merupakan sejenis teknik ilmu hitam yang menggunakan jampi serapah agar orang yang dipukau mematuhi arahan si pemukau. Kebiasaannya, orang yang dipukau akan bersifat menurut dan tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka ibarat dihipnosis. Pukau telah lama wujud dalam kalangan masyarakat Melayu seperti yang ada dinyatakan dalam teks Hikayat Raja Pahang ini.
Dalam usaha membawa Tun Teja kepada Raja Melaka, Hang Nadim telah meminta pertolongan pelulut tua untuk meyakinkan Tun Teja agar dia mengikuti Hang Nadim ke Melaka. Sambil memujuk dengan kata-kata manis, wanita tua itu menyapu minyak lulut pukau (yang diberikan oleh Hang Nadim) pada badan Tun Teja. Berikut merupakan contoh petikan yang menunjukkan tentang ilmu pukau;

‘’Maka kata Hang Nadim, ‘’ Jikalau dapat hendaklah barang daya ma’ Tun Teja itu mak bawa kepadaku supaya ku persembahkan kepada Raja Melaka.’’ Maka diberinya oleh Hang Nadim si pelulut itu suatu lagi pula lulut katanya, ini sapukan padanya.’’
Maka Tun Teja pun diamlah menengar kata si pelulut itu. Maka oleh si pelulut itu pula lulut daripada Hang Nadim itu disapukannya pada tubuhnya Tun Teja, seraya dibujuknya dengan kata-kata yang manis…….Maka Tun Teja redhalah menengar perempuan tuha pelulut itu.’’
 [Hikayat Raja Pahang, muka surat 182 dan 183]

Bukan itu sahaja, ada juga bukti budaya menghantar surat untuk memberitahu khabar berita. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, tiada teknologi seperti telegram yang boleh mengkhabarkan sesuatu berita dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan cara yang cepat. Sebagai contoh yang dapat dilihat dalam Hikayat Raja Pahang ini, Sultan Abdul Jamal telah menyuruh Seri Wangsa al-Diraja dan sebuah rombongan untuk membawa surat ke Melaka untuk mengkhabarkan berita kemangkatan Raja Pahang.
              Upacara menghantar surat itu sendiri mempunyai syarat yang tertentu  seperti  rombongan tersebut perlulah menghadap sultan di balai sebelum membacakan surat yang dibawa. Jelaslah bahawa, budaya menghantar surat sudah wujud pada zaman dahulu seperti yang dinyatakan dalam teks sastera ini. Berikut merupakan contoh petikan yang berkaitan dengan upacara menghantar surat bagi menyampaikan berita;

‘’Hatta maka Sultan Abdul Jamal pun menitahkan Seri Wangsa al-Diraja menghadap ke Melaka membawa rahap dan memberitahu akan ayahanda baginda sudah mangkat. Maka surat pun diaraklah ke perahu. Maka Seri Wangsa al-Diraja pun pergilah ke Melaka. Maka berapa lamanya di jalan sampailah ke Melaka. Maka Sultan Mahmud Syah pun keluarlah diadap orang. Surat disuruh baginda jemput. Setelah surat datang ke balai lalu dibaca’’
[Hikayat Raja Pahang, muka surat 178 dan 179]
Golongan yang berpangkat dan berharta sangat dipandang tinggi oleh rakyat mahupun sultan. Golongan ini menjadi kesayangan sultan dan hidup mereka akan menjadi senang sekiranya berada di bawah naungan sultan. Hang Nadim yang pada ketika itu telah dimurkai Sultan Melaka kerana kegagalan mengetuai suatu misi di India. Oleh sebab itulah, Hang Nadim begitu bersungguh-sungguh untuk mengambil semula hati sultan dengan membawa Tun Teja ke Melaka. Pada ketika itu, Hang Nadim mendengar titah sultan seperti berikut:
“Barang siapa yang membawa anak Bendahara Pahang itu ke mari, apa yang dikehendakinya kita anugerahi akan dia, umpamanya jika ia hendakkan sekerat kerajaan kita sekalipun kita anugerahkan dan apa pun dosanya tiada kita bunuh.’

Setelah itu, Hang Nadim telah berjaya membawa Tun Teja ke Melaka. Selepas Hang Nadim kembali ke Melaka, beliau diberi habuan setimpal seperti yang diinginkan. Contoh pernyataan adalah seperti yang tertulis dalam teks berikut:

‘...syahahan beberapa puji baginda akan Hang Nadim dan diberi persalin akan Hang Nadim selengkapnya, dianugerahai emas dan perak tiada terkira-kira lagi banyaknya. Maka Hang Nadim didudukkan oleh Sultan Mahmud Syah dengan saudara Paduka Tuan’’.

Bukan sahaja mendapat habuan seperti harta benda yang berharga, malah beliau dapat meraih semula kepercayaan Raja Melaka yang pernah pudar terhadap dirinya pada suatu ketika dahulu. Hal ini menunjukkan bahawa, harta dan pangkat telah dikejar sejak dahulu lagi demi kesenangan dan kepuasan diri sendiri.

Selain golongan yang mengejar pangkat dan harta, wujud juga masyarakat yang melakukan sesuatu perkara demi mendapatkan balasan. Peristiwa yang dikatakan ini dapat dilihat melalui watak perempuan pelulut tua. Setelah Hang Nadim menawarkannya emas dan kain yang banyak, dia menjadi buta hati dan sanggup membantu rancangan melarikan Tun Teja meskipun dia sudah lama bekerja sebagai tukang pelulut di kediaman Orang Kaya Datuk Bendahara. Kenyataan bahawa Tun Teja itu telah menjadi tunangan orang juga diabaikan olehnya asalkan dia menjalankan permintaan Hang Nadim setelah diberi emas dan kain. Berikut merupaka petikan pernyataan tersebut.

‘’Maka oleh Hang Nadim si pelulut itu diberikan emas dan kain baju terlalu banyak. Setelah ia memandang arta dunia. Maka si pelulut mengakulah menanggung rahsianya.’’

5.1.2    SITUASI PERSEKITARAN

Situasi persekitaran bermaksud latar belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan cara hidup yang menentukan perlakuan sesuatu anggota masyarakat. Situasi persekitaran merangkumi aspek-aspek yang terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa dan terdapat empat aspek penting yang dapat dilihat di dalamnya iaitu :

o   Cara penyampaian

o   Hubungan sosial dan peribadi

o   Bahan yang diperkatakan

o   Fungsi sosial perlakuan bahasa

Melihat kepada aspek situasi persekitaran yang pertama iaitu cara penyampaian, dapat dikenalpasti

bahawa pada awalnya, cara penyampaian yang wujud dalam laras hikayat adalah berbentuk lisan

namun setelah wujudnya sistem tulisan, ia telah dibukukan seterusnya menjadikan laras hikayat pada

masa kini disampaikan dalam bentuk tulisan. Sebelum wujudnya sistem tulisan, kebanyakan kisah

hikayat diceritakan melalui penglipur lara kepada rakyat. Hikayat Raja Pahang sendiri telah diambil

dari buku Sulalatus Salatin, bab Sejarah Melayu. Ia merupakan teks sastera Melayu yang banyak

mengisahkan tentang zaman Kesultanan Melayu dahulu. Pengkaji juga berkata sedemikian kerana di

dalam hikayat ini, terdapat banyak bahasa yang berbentuk perbualan, sebagai contohnya ialah:

‘’Maka kata Hang Nadim pada si pelulut itu, ‘’Ma’ ini orang siapa ?’’ Maka kata perempuan tuha itu, ‘’Sahaya ini hamba Orang Kaya Datuk Bendahara.’’  Maka kata Hang Nadim,’’Adakah malu masuk ke rumah Datuk Bendahara ?.’’

(Hikayat Raja Pahang, muka surat 182)

Ia merupakan contoh bentuk perbualan di antara Hang Nadim dan perempuan pelulut sebelum Tun Teja terkena pukau. Jelas dilihat ada unsur perbualan yang berlaku di dalam teks hikayat ini. Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa pantun yang diletakkan dalam hikayat bagi membantu daya tarikan dalam sesuatu kisah. Pantun tersebut digunakan untuk meyakinkan pembaca bahawa Tun Teja memiliki rupa yang amat cantik sehinggakan sesiapa pun sanggup bersumpah atas nama Allah untuk menyatakan kebenaran itu. Contohnya adalah seperti berikut;
‘’Tun Teja Ratna Menggala,
Pandai membelah lada sulah,
Jika tuan tiada percaya,
Mari bersumpah kalam Allah’’
(Hikayat Raja Pahang, muka surat 178)


Meskipun asal usul pantun tidak dapat dikenalpasti sehingga kini, ia terbukti sudah wujud lama di kalangan masyarakat Melayu terdahulu dengan bukti penemuannya dalam hikayat klasik ini. Ia merupakan seni sastera orang Melayu yang sangat unik kerana mempunyai aspek estetika dan keindahan yang sangat tinggi.
Bagi aspek situasi persekitaran yang kedua iaitu hubungan sosial dan peribadi pula, ia dapat dikenalpasti dan jenis hasilnya adalah berbeza mengikut sesebuah laras bahasa yang digunakan. Misalnya di dalam laras hikayat ini, pengkaji sudah mengetahui bahawa sastera hikayat sudah wujud sebelum bermulanya sistem tulisan lagi. Oleh itu, penglipur lara merupakan orang yang menyampaikan kisah kepada rakyat  dan ini merupakan hubungan yang bersifat formal iaitu antara pencerita dengan pendengar.
Sehinggalah wujudnya sistem tulisan dan hikayat ini dibukukan, hubungan sosial ini masih bersifat formal iaitu antara penulis dan juga pembaca. Berikut merupakan contoh hikayat yang telah diterbitkan kepada teks;

(Buku Sulalatus Salatin dan Sejarah Melayu yang dahulunya hikayat yang di sampaikan oleh penglipur lara)


Aspek persekitaran yang ketiga ialah bahan yang diperkatakan. Bahan yang diperkatakan adalah hal yang merujuk kepada topik yang wujud dalam sesuatu laras mengikut kandungannya kisahnya. Jika dilihat dari laras klasik Hikayat Raja Pahang ini, bahan yang diperkatakan lebih menjurus kepada hal pemerintahan, keadaan di istana serta kesaktian. Terdapat topik berkaitan  urusan rasmi diraja seperti pertabalan raja baru setelah seseorang raja mangkat dan berikut merupakan bukti upacara pertabalan dijalankan yang dinyatakan dalam petikan;

‘’…Baginda pun memulai pekerjaan akan tabal, berjaga tujuh hari tujuh malam. Maka Sultan Abdul Jamal pun dinobatkan oleh Seriwa Raja.’’
(Hikayat Raja Pahang, muka surat 179)

Ada juga dinyatakan gambaran tentang unsur kesaktian berkaitan kuasa hebat Hang Nadim dalam memanah musuh-musuhnya. Berikut adalah contoh yang diambil dari petikan hikayat;

‘’....dipanahnya oleh Hang Nadim akan orang mengait itu, lalu mati. Maka perahu itu pun undurlah. Maka tampil pula sebuah lagi, demikian juga. Setelah dua tiga buah demikian maka seorang pun hulubalang Pahang tiada mahu tampil lagi.’’
(Hikayat Raja Pahang, muka surat 185)

Bukan itu sahaja, ada juga berlakunya aktiviti di istana seperti berlulut dan pernyataan tentang hobi raja yang suka menjirat gajah. Berikut adalah contohnya;

‘’ Maka si pelulut itu pun masuklah ke dalam pagar bendahara. Maka ia berseru, katanya, ‘’ Siapa hendak berlulut, mari beta lulut.’’Maka kata Tun Teja pada dayang-dayangnya, ‘’Panggil si pelulut itu, aku hendak berlulut’’.
(Hikayat Raja Pahang, muka surat 183)

‘’Nantilah dulu, marilah kita pergi menjirat gajah kerana musim ini gajah telah turun. Terlalu sekali tuan kesukaannya orang menjirat gajah.’’
(Hikayat Raja Pahang, muka surat 179)
Aspek situasi persekitaran yang terakhir ialah fungsi sosial dan perlakuan bahasa.  Fungsi sosial ialah bentuk situasi dan upacara yang berlangsung di dalam sesuatu penceritaan manakala perlakuan bahasa ialah bahasa yang digunakan dalam sesuatu penceritaan itu atau maksudnya jenis bahasa yang digunakan. Situasi yang banyak dipaparkan di dalam hikayat ini adalah tentang hal istana, pemerintahan atau yang berkaitan dengan institusi kerajaan Kesultanan Melayu terdahulu. Oleh itu, bahasa yang wujud daripada perlakuan sosial ini ialah Bahasa Melayu Klasik  dan salah satunya ialah bahasa istana memandangkan zaman pengisahan Hikayat Raja Pahang ini adalah pada zaman dahulu.
Berikut adalah contoh penggunaan Bahasa Melayu Klasik dan bahasa istana yang dikenalpasti melalui teks ini;
‘’Setelah Sultan Mahmud Syah menengar Raja Pahang sudah mangkat maka baginda tiada nobat tujuh hari. Setelah itu maka baginda menitahkan Seriwa Raja ke Pahang dengan merajakan Sultan Abdul Jamal.'
Kata ‘’menengar’’ merupakan Bahasa Melayu Klasik dan sekiranya mengikuti sistem tulisan Bahasa Melayu Moden masa kini , kata ‘’menengar’’ sebenarnya adalah ‘’mendengar’’. Kata ‘’menitahkan’’ pula adalah bahasa istana yang bermaksud ‘’memerintahkan’’ atau ‘’menyuruh’’.
Sebenarnya, ia bukan sahaja wujud dalam Hikayat Raja Pahang, malah hampir keseluruhan kesusateraan hikayat mengandugi aspek ini kerana penciptaannya telah berlaku sejak zaman dahulu lagi.
5.2       CIRI-CIRI LINGUISTIK
Pada bahagian ini pula, kami akan membincangkan dan menganalisis dengan lebih lanjut mengenai aspek kosa kata, binaan ayat dan juga unsur ketenunan yang terdapat dalam teks Hikayat Raja Pahang yang merupakan salah satu bab di dalam Sulalatus Salatin.
5.2.1        Aspek Kosa Kata
Terdapat beberapa penggunaan kata yang digunakan di dalam teks kajian kami ini yang telah kami analisis. Antaranya ialah :
a.       Penggunaaan Kata Panggal Ayat
Berdasarkan teks kajian kami ini, terdapat penggunaan kata panggal ayat yang berfungsi sebagai penanda kesinambungan ayat dalam sesuatu wacana. Kata pangkal ayat ini juga terdapat pada kedudukan paling awal sebelum sesuatu ayat. Antara kata pangkal ayat yang digunakan dalam teks ini adalah seperti contoh di bawah :
Contoh 1 :
Alkisah maka tersebutlah perkataan Sultan Mahmud Syah, Raja  Pahang yang tuha itu telah mangkatlah. Maka anak baginda Sultan `Abdul Jamal kerajaan menggantikan ayahanda baginda. Adapun akan Bendahara Pahang tatkala itu Seri Amar Wangsa al-Diraja gelarnya akan dia, beranak seorang perempuan… ” (m/s 178)

Contoh 2 :
Arkian maka Sultan `Abdul Jamal hendakkan Tun Teja, hendak diperisterinya. Maka Bendahara Pahang pun kabullah, sekadar lagi bertangguh musim datang akan bekerja. Hatta maka Sultan `Abdul Jamal pun menitahkan Seri Wangsa al-Diraja menghadap ke Melaka membawa rahap dan memberitahu akan ayahanda baginda sudah mangkat. Maka surat pun diaraklah ke perahu. Maka Seri Wangsa al-Diraja pun pergilah ke Melaka. ” ( m/s 178)

Antara kata pangkal ayat yang terdapat dalam contoh petikan di atas adalah seperti alkisah, maka, adapun, arkian dan hatta di mana kata pangkal ayat ini banyak terdapat di dalam teks yang kami kaji. Oleh itu, jelaslah menunjukkan bahawa teks Sulalatus Salatin ini mempunyai laras Bahasa Melayu Klasik di dalam penulisannya.

b.      Penggunaan Kata Kerja Aktif
Kata kerja aktif ini merupakan kata kerja yang hadir dalam ayat aktif di mana merupakan ayat yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau yang diterangkan. Kata kerja aktif ini pula terbahagi kepada dua jenis, iaitu :
1.      Kata kerja aktif tak transitif.
2.      Kata kerja aktif transitif.
Sehubungan dengan itu, kata kerja aktif tak transitif ini ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Kata kerja aktif tak transitif ini juga dapat dibahagikan kepada dua subgolongan, iaitu :
o   Kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap.
o   Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap.
Namun, dalam teks kajian kami iaitu Hikayat Raja Pahang ini, hanya terdapat kata kerja aktif tak transitif berpelengkap. Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap ini ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini juga hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, hal ini demikian kerana objek atau penyambut ini hanya hadir selepas kata kerja transitif serta boleh mengalami proses pasif. Manakala, pelengkap pula ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat.
Ayat dengan kata kerja aktif tak transitif yang mengandungi pelengkap ini juga tidak boleh dipasifkan. Contoh kata kerja aktif tak transitif berpelengkap berdasarkan teks kajian kami adalah seperti berikut :
Contoh :
a)      Setelah itu maka baginda menitahkan Seriwa Raja ke Pahang dengan merajakan Sultan `Abdul Jamal.                      (m/s 179)
b)      Maka si pelulut itu pun masuklah melulut Tun Teja.        (m/s 183)
c)      Setelah hari malam maka Hang Nadim pun memanggil si pelulut itu, disuruhnya mengemasi segala tunggu pintu Bendahara Pahang.         (m/s  184)
d)     Maka Nakhoda Sidi Ahmad menyuruh membongkar sauh, lalu belayar ke Melaka.                                                                     (m/s 185)
Berdasarkan ayat-ayat di atas, perkataan yang condong tersebut merupakan kata kerja aktif tak transitif, sementara unsur yang mengikutinya pula adalah pelengkap. Sekiranya pelengkap tersebut digugurkan, maka ayat-ayat yang terhasil akan tidak sempurna. Selain itu, ayat-ayat ini juga tidak boleh dipasifkan. Manakala, kata kerja aktif transitif pula ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama bagi melengkapkan maksudnya. Contoh kata kerja aktif transitif dalam teks kajian kami adalah seperti berikut :
Contoh :
a)      Maka tampil hulubalang Pahang mengait jong, dipanahnya oleh Hang Nadim akan orang mengait itu, lalu mati.          (m/s 185)
b)      Maka dipersembahkan oranglah kepada Sulatan Mahmud Syah bahawa Hang Nadim datang dari Pahang menumpang jong Nakhoda Sidi Ahmad. [m/s185]
c)      Maka baginda pun menyuruh mengarang surat ke Pahang, kepada Bendahara Seri Maharaja. (m/s 187)
d)     Maka Sultan `Abdul Jamal pun membalas surat, syahadan memberi persalin akan Laksamana. (m/s 188)
Berdasarkan contoh-contoh di atas, kata kerja mengait, menumpang, mengarang dan membalas adalah merupakan kata kerja transitif. Hal ini demikian kerana objek yang terdapat dalam ayat-ayat tersebut adalah merupakan frasa nama yang berfungsi sebagai pelengkap ayat.

c.       Penggunaan Kata Kerja Pasif
Kata kerja pasif ialah kata kerja hasil daripada proses transformasi atau perubahan ayat aktif menjadi pasif. Bentuk ini diperoleh dengan menukarkan ayat berbentuk aktif menjadi ayat-ayat berbentuk pasif. Bahkan, salah satu ukuran yang dapat digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu kata kerja itu transitif atau tidak adalah dengan melihat sama ada kata kerja itu dapat itu dapat mengalami proses pasif atau tidak. Antara contoh kata kerja pasif dalam teks kajian kami ini adalah seperti berikut :
Contoh :
a)      Maka oleh Sultan `Abdul Jamal disuruh baginda lepaskan seekor gajah jinak. Maka dikepunglah dengan beberapa gajah yang lain dan berapa belas orang bomo yang tahu-tahu memegang jirat seperti laku orang menjirat gajah liar. Maka disaukkannyalah jiratnya kepada kaki gajah yang jinak dan yang dilepaskannya itu, tiada kena, maka kena pada gajah yang lain, dan kena leher samanya bomo dan kakinya.                                                  (m/s 180)
b)      Maka oleh Seriwa Raja dibisikinya Tun `Umar. Setelah sudah maka katanya , “Pergilah engkau dibawa oleh sultan bergajah.   (m/s 181)
c)      Maka oleh Hang Nadim dipanggilnya masuk si pelulut itu.        (m/s 182)

Oleh itu, jelaslah menunjukkan bahawa perkataan yang bercondong tersebut merupakan kata kerja pasif kerana ayat-ayat di atas adalah merupakan ayat-ayat aktif yang telah melalui transformasi dan menjadi ayat-ayat yang pasif.

d.      Penggunaan Diksi
Terdapat beberapa perkara penting yang dilihat dalam teks Sulalatus Salatin mengenai aspek diksi ini. Antaranya ialah :
    i.            Unsur-unsur Perulangan
Unsur perulangan ini merupakan satu daripada ciri yang menarik di mana unsur perulangan kata ini
boleh berupa perulangan kata-kata, frasa dan ayat yang sama. Perulangan yang berlaku juga boleh
terdapat dalam bentuk perenggan yang sama atau sebagainya. Sehubungan dengan itu, unsur
perulangan yang digunakan ini juga bertujuan untuk menyatakan sesuatu dengan cara yang lebih
berkesan ataupun kesungguhan penulis memberikan tumpuan pada sesuatu perkara yang diperkatakan.

Menurut Za`ba (1965) dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu, unsur-unsur ulangan merupakan
satu daripada unsur ragam bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu yang dinamakan bahasa 
berulang. 
Sehubungan dengan itu, tujuan unsur ulangan ini digunkan adalah untuk menguatkan sesuatu
maksud yang hendak disampaikan. Kata-kata yang diulang juga sering kali mempunyai makna yang
sama atau hampir sama walaupun bentuk kata yang berbeza.
Selain itu, menurut Raminah Hj. Sabran (1985) pula, beliau menyatakan bahawa bentuk bahasa
berulang ini merupakan perulangan sesuatu perkataan, ayat ataupun rangkai kata sebanyak dua, tiga
kali untuk menguatkan maksud sesuatu yang hendak ditekankan.
Daiches (1964) pula menyatakan bahawa perulangan ini ialah satu sifat stilistik yang tugasnya
memadatkan serta memperteguh penyataan, manakala dalam pandangan stilistik, perulangan ini
bertujuan untuk menguatkan aspek semantik, iaitu menegaskan persoalan yang hendak
diketengahkan. Kata-kata yang diulang juga seringkali mempunyai makna yang sama ataupun hampir
sama walaupn bentuknya berbeza. Antara contoh unsur perulangan yang terdapat dalam teks kajian
kami ini adalah seperti berikut :
Contoh :
a)      Setelah hari malam maka Hang Nadim pun memanggil si pelulut itu, disuruhnya mengemasi
segala tunggu pintu Bendahara Pahang. Maka si pelulut itu pun pergilah mengemasi si tunggu pintu
itu. Maka segala tunggu pintu itu pun sedia ialah dengan Hang Nadim. Setelah hampirlah dini hari,
sedang ketika sedap orang tidur, maka oleh si pelulut itu dibawanya Tun Teja kepada si penunggu
pintu. Maka ia pun memukakan pintu, Hang Nadim pun hadirlah di luar. Maka oleh si pelulut Tun
Teja disuruhkannya kepada Hang Nadim. (m/s 184)
b)      Adapun batangan Pahang pada masa itu dua lapis. Maka oleh Hang Nadim tangannya bajunya
diisinya pasir, maka ditaburkannya di air, bunyi seperti orang menjala. Maka ia minta dibukai 
batangan pada si penunggu batangan itu. Setelah didengar oleh si penunggu batangan bunyi orang 
menjala maka dibukainya batangan itu.   (m/s 184)
c)      Maka bendahara pun khairan. Maka disuruhnya cari segenap sana sini, tiada bertemu. Maka
riuhlah bunyi orang menangis dalam rumah Bendahara Pahang. (m/s 185)
Oleh itu, berdasarkan contoh-contoh di atas jelaslah menunjukkan bahawa terdapatnya unsur-unsur
perulangan di dalam teks kajian kajian kami melalui perkataan-perkataan yang bercondong tersebut.
Hal ini demikiaan kerana, berlakunya perulangan kata seperti maka dan frasa nama seperti tunggu
pintu dalam petikan teks di atas untuk menguatkan lagi maksud atau cerita yang hendak disampaikan.
  ii.            Unsur-unsur Kata Pinjaman (Asing)
Unsur kata-kata asingj uga turut digunakan di dalam teks kajian kami sebagai satu daripada kelainan
bahasa selain daripada bahasa Melayu. Kebiasaannya, unsur kata-kata asing ini akan digunakan
dalam sesuatu perbualan. Perbualan yang menggunakan kata-kata asing ini juga akan
menggambarkan keadaan sebenar yang ada pada sesebuah watak.
Selain itu, kata-kata asing ini juga seringkali digunakan dalam bentuk bahasa yang digunakan oleh
pengarang. Hal ini demikian kerana, untuk menggambarkan sesuatu keadaan yang diperkatakan
dalam sesebuah cerita. Unsur kata-kata asing yang terdapat di dalam teks kajian ini adalah kata-kata
pinjaman dari Bahasa Arab dan istilah keagamaan. Contoh kata-kata pinjaman Arab dan istilah
keagamaan dalam teks kajian kami adalah seperti berikut:
Contoh :
a)      Maka kata si pelulut itu, “ Insya-Allah Ta`ala dapat, karena beta pun biasa disuruh orang.” 
(m/s 182)
b)      Maka Tun Teja pun redhalah menegar kata perempuan tuha pelulut itu. (m/s 183)
c)      Maka baginda pun terlalu pun terlalu khairan. Maka baginda pun mengucap Subhan Allah,
syahdan beberapa puji baginda akan Hang Nadim… (m/s186)
d)     “ Patik tuanku, titahkanlah ke Pahang patik, Insya-Allah Ta`ala patik megambil gajah… ” 
(m/s 187)

Justeru itu, unsur kata-kata pinjaman dari Arab yang terdapat di dalam teks kajian kami adalah seperti
Insya-Alla Ta`ala, redha dan Subhan Allah di mana jelaslah teks Sulalatus Salatin ini telah mendapat
pengaruh dari Bahasa Arab dan agama Islam.
 iii.            Kata-kata Berunsur Kepuisian
Selain itu, penggunaan kata-kata berunsur kepuisian ini juga bertujuan untuk menghidupkan cerita
yang hendak disampaikan oleh seseorang penulis. Kata-kata yang berunsur kepuisian ini merangkumi
aspek diksi seperti metafora, personifikasi, simili dan unsur-unsur lain yang terdapat serta 
menghidupkan mesej yang hendak disampaikan kepada pembaca. Namun, dalam teks kajian kami 
hanya terdapat unsur simili dan hiperbola sahaja.
Sehubungan dengan itu, tanpa unsur kepuisian ini juga bahasa yang digunakan akan jadi mendatar
atau kering serta kurang menarik minat para pembaca. Menurut Dharmawijaya (1988:24), 
Keindahan bahsa bergantung kepada pemilihan, penyusunan atau pembentukan kata-kata.
Ia memperlihatkan ciri-ciri kehalusan dan kesempurnaan. Kehadiran bentuk-bentuk ini menimbulkan
kesan yang pelbagai kepada pembaca.”
o   Unsur Simili
Simili ini merupakan unsur bahasa kiasan yang digunakan oleh penulis untuk membandingkan dua
hal atau objek. Objek pertama diberikan sifat objek lain dengan menganggap objek kedua 
mempunyai persamaan dengan objek pertama. Kebiasaannya, unsur simili ini juga akan disertai 
dengan kata bandingan, iaitu seperti, bak, bagai, umpama, macam dan sebagainya. Namun, di dalam 
teks kajian kami ini hanya terdapat kata bandingan seperti. Selain itu, perbezaan diantara simili 
dengan metafora hanyalah dengan kehadiran penanda kata bandingan sahaja.
Sehubungan dengan itu, tujuan unsur ini digunakan adalah untuk menimbulkan keindahan atau 
estetik di samping bagi menggambarkan sesuatu keadaan ataupun perasaan dengan cara yang tulen 
dan original. Antara contoh unsur simili yang terdapat dalam teks kajian kami ialah:
Contoh :
a)      Maka titah baginda, “ Kita diperbuat oleh Raja Melaka seperti kera, mulut disuap dengan
pisang, pantatnya dikait dengan onak. ” (m/s 188)
b)      Maka Sultan `Abdul Jamal pun terlalu amarah, seperti ular berbelit-belit sendirinya. (m/s 189)
Oleh itu, kata bandingan yang terdapat di dalam ayat tersebut adalah seperti dan unsur similinya pula 
adalah perkataan yang ditebalkan iaitu seperti ular berbeli-belit sendirinya. Hal ini jelaslah, penulis 
ingin menunjukkan betapa marahnya Sultan `Abdul Jamal ketika itu ibarat ular yang sedang berbelit 
dengan eratnya.
o   Unsur Hiperbola
Hiperbola ialah suatu gaya yang digunakan bagi menggambarkan sesuatu dengan cara yang berlebih-
lebihan atau membesarkan sesuatu perkara dengan cara yang sama. Selain itu, hiperbola ini juga 
digunakan dalam kedaan tertentu untuk tujuan menguatkan maksud sehingga seringkali cara yang 
berlebih-lebihan tidak dapat diterima akal. Contohnya seperti :
Contoh :
a)      Adapun akan Bendahara Pahang tatkala itu Seri Amar Wangsa al-Diraja gelarnya akan dia,
beranak seorang perempuan, Tun Teja Ratna Menggala namanya, terlalu baik parasnya. Dalam tanah
Pahang seorang pun tiada samanya pada zaman itu, pada barang lakunya sedap manis, tiada
berbagai. (m/s 178)
b)      Apa daya tuan hamba melihat dia karena ia anak orang besar, jangankan kita, sedang matahari
dengan bulan lagi tiada melihat dia. ( m/s 182)
c)      Maka kata Hang Nadim, “ Sungguhkah kudengar Tun Teja itu terlalu baik parasnya ? ”
Maka kata si pelulut itu, “ Sahaja tiada samanya dalam negeri Pahang ini, sudah ditunangi oleh
Yang Dipertuan. Musim datang inilah akan kahwin.” (m/s 182)
Justeru itu, unsur hiperbola yang dapat dilihat berdasarkan contoh di atas adalah di mana tujuannya
untuk menggambarkan sesuatu dengan cara yang berlebih-lebihan. Contohnya, penulis telah
menggambarkan kecantikkan Tun Teja di mana tidak ada seorang pun di negeri Pahang tersebut yang
mempunyai rupa secantik Tun Teja. 
e.       Penggunaan Bahasa Istana
Selain itu, penggunaan bahasa istana juga turut terdapat di dalam teks kajian kami, hal ini demikian
kerana latar tempat bagi penceritaan Hikayat Raja Pahang ini adalah lebih bertumpu di istana dimana 
persekitarannya juga turut melambangkan situasi kerajaan kerana terdapatnya Sultan `Abdul Jamal 
Sultan Mansur Syah, Raja Ahmad dan Raja Muzaffar pada ketika itu.
terdapat di dalam teks kajian kami ini. Antara bahasa Istana yang digunakan adalah seperti berikut :


BAHASA ISTANA
BAHASA MELAYU BIASA
Mangkat
Meninggal dunia
Menitahkan
Menyuruh
Melulut
Berdandan
Tabal
Perlantikan
Murka
Marah
Balairung
Tempat berkumpul
Mengadap
Berjumpa
Menjunjung duli
Menghormati


Oleh itu, jelaslah menunjukkan bahawa terdaptnya penggunaan bahasa istana di dalam teks kajian kami melalui perkataan-perkatan yang digunakan khususnya untuk golongan diraja.

BIBLIOGRAFI
Omar, A. H. (1988). Bahasa diraja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia
Harun, J. (2004). Ilmu kesusasteraan abad ke-21. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
 Karim, A. R., & Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali. (2013). Warkah Raja-Raja Melayu: struktur, stilistik dan nilai estetika. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.
 Rahim, A. R. (2000). Sulalatus salatin. Kuala Lumpur: Jade Green Publications.A. (1989). Bahasa Melayu baku: asas pembinaan tamadun. Kuala Lumpur: Diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia dengan kerjasama Sasbadi Sdn. Bhd.



Post a Comment

0 Comments