Kesalahan Kata Sendi Nama


Frasa sendi nama ialah satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu kata sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi nama itu. Kata sendi nama ialah bentuk morfem atau kata yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata sendi nama dalam bahasa Melayu ialah 'di', 'ke', 'dari', 'daripada', 'pada', 'kepada', 'untuk', dan sebagainya. Menurut Khairiah Ahmad (1985), unsur penting dalam menghasilkan pertuturan berkesan ialah penguasaan bahasa yang agak tinggi dalam sebutan, perbendaharaan kata, tatabahasa dan nada. 


1. Kesalahan tatabahasa

Contoh kesalahan:
Tak bagi butiran peribadinya secara detail dengan budak itu.

Sepatutnya:
 Tak bagi butiran peribadinya secara detail kepada budak itu.

Penggunaan kata sendi 'dengan' di atas didapati tidak tepat kerana 'dengan' digunakan untuk membawa maksud bersama-sama atau berserta, cara melakukan sesuatu, memakai atau menggunakan peralatan dan membandingkan keadaan yang serupa atau sama. Kata sendi nama 'kepada' lebih sesuai kerana digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan, dan menyatakan perubahan.

2. Kesalahan tatabahasa

Contoh kesalahan:
Untuk kita mengelak dari seseorang.

Sepatutnya:
Untuk kita mengelak daripada seseorang.

Penggunaan kata sendi nama 'dari' juga didapati tidak tepat kerana kata sendi nama 'dari' hendaklah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang mengarahkan arah atau masa. Kata sendi nama 'daripada' pula hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja apabila digunakan untuk menyatakan perbezaan atau perbandingan. Selain daripada itu, kata sendi nama 'daripada' juga digunakan untuk menyatakan punca atau sumber kejadian sesuatu benda. Oleh itu, frasa sendi nama yang tepat dalam ayat di atas ialah 'daripada seseorang' yang menunjukkan punca. 

3. Kesalahan tatabahasa

Contoh kesalahan:
Dalam pada masa yang sama...

Sepatutnya:
Pada masa yang sama...

Penggunaan kata sendi nama 'dalam' yang berfungsi sebagai kata sendi nama dapat juga berfungsi sebagai kata arah. Sebagai kata sendi nama, 'dalam' hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi pula lebih gramatis digunakan dalam frasa ini kerana 'pada' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu.

4. Kesalahan tatabahasa

Contoh kesalahan:
Sengaja membina profil kita di dalam mana-mana komuniti online.

Sepatutnya:
Sengaja membina profil kita dalam mana-mana komuniti online.

Contoh di atas menunjukkan kesalahan penggunaan kata sendi nama 'di' dan 'dalam'. Kata sendi nama 'di' digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama yang mengikutinya, manakala perkataan 'dalam' berfungsi sebagai kata sendi nama yang menunjukkan kata arah. 'Dalam' hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. 'Di' pula tidak boleh digunakan di hadapan kata nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman.


Post a Comment

0 Comments