Halangan Pemerolehan Bahasa Kedua




Pemerolehan bahasa (language acquisition) atau akuisisi bahasa menurut Maksan (1993:20) adalah suatu proses penguasaan bahasa yang dilakukan oleh seseorang secara tidak sedar, implisit, dan informal. Lyons (1981:252) menyatakan suatu bahasa yang digunakan tanpa kualifikasi untuk proses yang menghasilkan pengetahuan bahasa pada penutur bahasa disebut pemerolehan bahasa, ini bermaksud seorang penutur bahasa yang menggunakan bahasa tertentu tanpa terlebih dahulu mempelajari bahasa tersebut. Dardjowidjodjo (2003:225) menyatakan bahwa pemerolehan bahasa adalah proses penguasaan bahasa yang dilakukan oleh kanak-kanak secara semulajadi ketika mereka belajar bahasa ibunda. Stork dan Widdowson (1974:134) menyatakan bahawa pemerolehan bahasa dan akuisisi bahasa adalah suatu proses kanak-kanak mencapai kelancaran dalam bahasa ibunya. Huda (1987:1) menyatakan bahawa pemerolehan bahasa adalah proses semulajadi dalam diri seseorang menguasai bahasa. 

    Pemerolehan bahasa biasanya didapati hasil daripada kontak verbal dengan penutur asli lingkungan bahasa itu. Dengan demikian, istilah pemerolehan bahasa mengacu pada penguasaan bahasa secara tidak disedari. Jadi pemerolehan bahasa adalah proses yang berlangsung di dalam otak kanak-kanak ketika dia memperoleh bahasa pertamanya atau bahasa ibunya. 

    Pemerolehan bahasa berbeza dengan pembelajaran bahasa. Pembelajaran bahasa berkaitan dengan proses-proses yang terjadi pada waktu seorang kanak-kanak mempelajari bahasa kedua setelah dia memperoleh bahasa pertamanya. Bagi Mangantar Simanjuntak (1982) dalam Tau Meng Huat (2006) pula, pemerolehan bahasa bermaksud penguasaan bahasa oleh seseorang secara tidak langsung dan dikatakan aktif berlaku dalam kalangan kanak-kanak dalam lingkungan umur dua ke enam tahun. Hal ini tidak bermakna orang dewasa tidak memperoleh bahasa tetapi kadarnya tidak sehebat kanak-kanak. 

    Terdapat banyak halangan-halangan yang dihadapi dalam pemerolehan bahasa semasa proses mempelajari dan meningkatkan kemahiran serta kecekapan berbahasa kedua. Teori masa kritikal menjelaskan bahawa jangka masa yang paling baik untuk pembelajaran bahasa ialah sewaktu dalam lingkungan usia kanak-kanak. Pendapat ini mengatakan, jika seseorang itu sudah melebihi usia balighnya, dia semakin sukar untuk menguasai sesuatu bahasa kerana otaknya sudah berkembang sepenuhnya. Oleh itu penguasaan bahasa asing atau bahasa kedua perlu dipelajari sejak kecil lagi. Menurut Piaget, bahasa adalah respon intelektual seseorang dan respon ini tidak diwarisi. Yang diwarisi oleh seseorang adalah kecenderungan mengatur proses intelektual dan kecenderungan untuk menyesuaikan diri dengan lingkungan mereka. 

     Halangan yang kedua ialah apabila seseorang itu tidak mengamalkan amalan pembelajaran sepanjang hayat. Untuk lebih menguasai pemerolehan bahasa kedua, individu perlulah sentiasa berusaha mempelajarinya dan tidak berputus asa mendapatkannya. Latihan yang berulang-ulang untuk pemerolehan bahasa kedua boleh dilakukan untuk menguasainya. Kanak-kanak lebih pantas menguasai perbendaharaan kata dan struktur gramatikal pada usia lima tahun. Dalam buku Verbal Behavior (1957), Skinner telah membincangkan lebih lanjut tentang proses pembelajaran dengan menggunakan unsur rangsangan, tindakbalas dan segala syarat dan pengukuhan yang terlibat dalam menghasilkan pembelajaran secara maksimum. Oleh itu, penting bagi penutur untuk pengguna bahasa kedua melatih diri mereka untuk memperoleh bahasa kedua dengan baik. 

     Bagi golongan remaja dan dewasa yang mempunyai pengetahuan asas dalam bahasa kedua, mereka lebih mudah dan cepat untuk mempelajarinya. Mereka yang tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai bahasa kedua tersebut akan mengalami sedikit kesukaran untuk mempelajari bahasa tersebut. 

    Masalah lain yang sering menjadi halangan untuk pemerolehan bahasa kedua ialah pengaruh daripada bahasa pertama. Ini kerana menurut Stephen Krashen, penutur memperoleh bahasa pertama secara natural melalui perbualan seharian. Pembelajaran bahasa kedua pula berlaku pembetulan kesalahan semasa berlaku proses pembelajaran dan juga pengaruh bahasa pertama. Penutur yang masih dalam proses pembelajaran awal untuk penguasaan bahasa kedua, dia berkemungkinan untuk terikut-ikut dengan konsep dan peraturan hukum bahasa pertama yang mungkin sekali berbeza dengan konsep dan hukum bahasa bagi bahasa kedua yang dipelajari. Dalam sebuah kajian untuk ijazah Sarjana Sastera di Universiti Malaya, pada tahun 1971, Mohd. Khalid cuba melihat keperluan pemeliharaan bahasa Melayu sebagai bahasa kandung di kalangan mereka yang mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah. 

    Dari golongan pelajar yang dikaji, tidak ada mereka yang betul-betul lancar dalam kedua-dua bahasa tersebut. Mereka hanya lancar dalam bahasa kandung dan mereka bergantung kepada bahasa Inggeris, untuk kepentingan akademik. Kemahiran kedwibahasaan sebenarnya mempunyai pertalian rapat dengan pola-pola persekolahan yang telah dialami oleh pelajar tersebut. Dalam kebanyakan hal, mereka salah faham dalam menganggarkan darjat kemahiran mereka. Umumnya terdapat mereka yang menyangka bahawa mereka itu lebih atau kurang mahir dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun boleh dibuat satu generalisasi bahawa kemahiran mereka dalam bahasa kandung memang cukup baik, manakala kemahiran mereka dalam bahasa kedua tidaklah sempurna. 




    Terdapat bahasa asing yang merupakan bahasa kedua bagi sesetengah tempat telah menjadi bahasa yang tidak biasa langsung digunakan kebanyakan golongan dalam negara itu. Contohnya bagi negara China, masyarakat di sana tidak menggunakan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sebagai bahasa yang digunakan seharian dalam kehidupan mereka. Ini mungkin disebabkan oleh faktor sejarah, bentuk tulisan dan tiada persamaan perbendaharaan kata dalam bahasa mereka. Oleh sebab itu, masyarakat China mempunyai masalah untuk menguasai bahasa kedua dengan mudah kerana sekiranya daripada zaman kanak-kanak lagi sudah biasa mendengarkan dan menuturkan bahasa tersebut, mereka boleh bertutur dalam bahasa kedua dengan fasih dan dengan lebih kerap. Latihan pengukuhan yang kurang juga menjadi faktor penutur tidak memperolehi kefasihan dalam bahasa kedua. Penutur sendiri perlu lebih banyak proses pengulangan semasa dalam pembelajaran dan mendapatkan bantuan rakan sebaya yang berkemahiran dalam bahasa tersebut. 

    Penutur bahasa kedua perlu memahirkan diri dengan kerumitan tatabahasa dan sruktur ayat bahasa sasaran. Strategi pembelajaran yang tidak berkesan juga menjadi penyumbang mengapa penutur tidak berjaya memperoleh bahasa kedua dengan baik. Di samping itu, E.R. Guthrie yang menjadi profesor psikologi di University of Washington dalam bukunya The Psychology of Learning (1935), beliau memberi perhatian terhadap pendapat berikut, bahawa pembelajaran itu berlaku dengan adanya rangsangan yang diikuti dengan tindakbalas. Dengan kata lain apa yang dimaksudkan olehnya ialah kalau sesuatu lakuan itu terjadi dalam satu keadaan tertentu, maka semasa kita berada dalam keadaan itu pada masa yang lain, tentulah kita akan membuat lakuan yang sama. 

     Antara halangan-halangan yang lain pula ialah masalah dalaman penutur itu sendiri. Apabila penutur tidak mempunyai keinginan yang kuat untuk mempelajari bahasa kedua, tidak mustahil individu tersebut tidak berjaya mencapai kejayaan seperti mana yang diharapkan. Walaupun kadangkala mereka menyedari akan kepentingan bahasa kedua namun mereka tidak mempunyai keazaman dan motivasi yang tinggi untuk menguasainya. Corak perasaan dan pemikiran akan mempengaruhi mereka untuk berusaha secara gigih atau tidak semasa proses pembelajaran dijalankan. 

     Penutur juga tidak akan dapat memahirkan diri dengan penggunaan bahasa kedua sekiranya mereka tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Mereka tidak menumpukan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran mereka dan sentiasa merasakan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mempraktikkannya. Mereka hanya berpeluang untuk menggunakan bahasa tersebut semasa dalam kelas sahaja kerana mereka lebih selesa menggunakan bahasa ibunda dalam perbualan seharian. 

     Kesimpulannya masih terdapat banyak halangan-halangan yang dihadapi oleh penutur dalam pemerolehan bahasa kedua yang tidak ditangani dengan serius. Kebanyakannya masalah berpunca daripada diri penutur itu sendiri. Penutur hendaklah sedar dan berusaha untuk menanganinya agar tidak menjadi halangan untuk terus berjaya dalam pemerolehan bahasa kedua. Dorongan dan sokongan daripada pihak pihak tertentu juga sangat memberi impak yang besar dalam kejayaan memperolehi bahasa kedua ini. Seorang yang mempunyai motif tinggi dan diberi peluang baik, tetapi tidak mempunyai keupayaan yang tinggi terhadap pembelajaran bahasa, akan mencapai kejayaan yang baik, lebih-lebih lagi kalau masyarakat sekelilingnya itu mendorongnya.

Post a Comment

0 Comments