Kata Ganda Separa (Penggandaan Separa)

 


Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar ini boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Kata ganda separa ini ada yang membawa maksud tunggal dan ada juga yang membawa maksud banyak/jamak. 

Antara contoh penggandaan separa kata tunggal ialah:

1. daun - dedaun

2. rambut - rerambut

3. tikus - tetikus

4. gelang - gegelang

5. laki - lelaki

Manakala penggandaan separa kata terbitan (kata yang menerima imbuhan) pula ialah:

1. berlari-lari (kata kerja)

2. tertanya-tanya (kata kerja)

3. serendah-rendah (kata adjektif)

4. sayur-sayuran (kata nama)

5. kenang-kenangan (kata nama)

Penggandaan separa ini boleh merubah makna sesebuah kata. Sebagai contoh penggandaan separa tunggal yang hanya mengalami pengulangan suku kata pertama pada kata asalnya sahaja, seperti daun - dedaun. Perkataan dedaun sama maknanya dengan daun-daun yang membawa maksud banyak daun atau pelbagai daun. Secara tidak langsung, kita dapat membezakan bahawa "daun" itu telah bertambah jumlahnya. 

Contoh ayat: 

Dedaun berguguran jatuh di halaman rumah.

Ali membersihkan dedaun yang berguguran jatuh di dalam kolam.

Kata bilangan tidak boleh digunakan pada kata ganda yang berbentuk banyak/jamak, namun boleh digunakan pada kata ganda yang bermaksud tunggal atau satu. 

Contoh ayat:

Tiga helai dedaun berterbangan ditiup angin. (salah)

Seorang lelaki sedang berdiri di bawah pokok. (betul)


Cuba bandingkan Kata Ganda Separa dengan Kata Ganda Penuh. Terdapat banyak perbezaannya bukan?

Post a Comment

2 Comments