SYAIR BIDASARI

 

SYAIR BIDASARI
(Antologi Puisi Tanah Airku )

Bersalinlah adinda seorang puteri,
Parasnya laksana Mandudari,
Sakitnya tiada lagi terperi,
Diriba baginda kepala isteri.

Anaknya puteri puspawarna,
Eloknya bagai anak-anakan kencana,
Laksana bunga cempaka warna,
Maka digubah seorang rana.

Setelah bersalin paduka adinda,
Ditilik baginda seraya bersabda,
Atma jiwa bangunlah adinda,
Mandilah tuan sama anakanda.

Setelah sudah mandi bersuci,
Disambut anakanda lalu disusui,
Hatinya belas tiada terperi,
Anak hendak ditinggal pergi.

Keduanya sama bercinta gundah,
Memandang putera paras yang indah,
Baginda menangis seraya bersabda,
Hendak dibawa bukannya mudah.

Hendak dibawa terlalu sukar,
Kerana berjalan di dalam belukar,
Semaklah dengan duri dan akar,
Lagipun panas bagai dibakar.






Post a Comment

2 Comments