Definisi Ayat Menurut Para Ahli Bahasa

 

Ayat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud satu perkataan atau (lebih kerap lagi) atau serangkai perkataan yang merupakan kesatuan yang membawa sesuatu maksud. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga pula, ayat merupakan unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap, yang pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mempunyai intonasi yang sempurna. 



Berbagai definisi ayat telah diberikan oleh ahli-ahli bahasa serta para pengarang. Antaranya:

1. Za'ba

Dalam buku Pelita bahasa Melayu, Penggal 1(Permulaan Nahu Melayu), Za'ba memberikan definisi ayat sebagai berikut:

"Ayat memakai susunan perkataan yang sekumpul-sekumpul dengan tentu hujung pangkalnya dan tempat-tempat berhentinya, serta memberikan faham yang sempurna tiap-tiap sekumpul kata yang dikatakan itu.

...maka tiap-tiap sekumpul perkataan itu ialah susunan yang sempurna maksudnya."

(Pelita Bahasa Melayu Penggal 1, 1965 hal. 251)


2. Asraf

Asraf juga ada memberikan definisi dalam buku Petunjuk Bahasa Malaysia Baku yang berbunyi:

"Bentuk bahasa yang terjadi dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun kepada dua bahagian, iaitu subjek dan predikat."

(Petunjuk Bahasa Malaysia Baku KBSM, 1990 hal. 227)


3. Asmah Hj. Omar

Menurut Asmah Hj. Omar dalam bukunya Nahu Melayu Mutakhir, ayat didefinisikan sebagai:

"Ayat adalah unit yang paling tinggi dalam skala tatatingkat nahu. Ayat terdiri dari klausa yang disertai dengan intonasi ayat yang lengkap, yakni yang dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan dan intonasinya menyatakan bahawa ayat itu sempurna dan selesai."

(Nahu Melayu Mutakhir, 1993 hal.355)


4. Arbak Othman

Dalam bukunya Nahu Bahasa Melayu, Arbak Othman mendefinisikan ayat sebagai:

"Ayat ialah satu ikatan perkataan yang mengandungi subjek dan predikat. Ikatan perkataan ini mempunyai susunan berdasarkan tekanan, intonasi, dan hentian yang tertentu serta membawa satu fikiran atau idea yang lengkap."

(Nahu Bahasa Melayu, 1989 hal.116)


5. Abdul Hamid Mahmood

Abdul Hamid Mahmood, mendefinisikan ayat dalam bukunya yang bertajuk Betulkan Kesalahan Bahasa Anda sebagai berikut:

"Ayat ialah unit pengucapan yang mengandungi makna yang lengkap. Ayat boleh terbentuk daripada satu atau beberapa perkataan yang diucapkan dengan intonasi yang sempurna."

(Betulkan Kesalahan Bahasa Anda, 1994 hal.60)

Post a Comment

0 Comments