Nilai dalam Lagu Rakyat Tepuk Amai-amai

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan pelbagai irama dan lagu yang diwarisi secara turun temurun. Walaupun mengalami sedikit pembaharuan dari segi aturan lirik, gaya nyanyian atau alat muzik serta cara penyampaiannya yang dipelbagaikan, ia masih memperlihatkan ciri-ciri kemelayuannya yang tersendiri. Lagu amat penting di dalam kehidupan masyarakat. Oleh itu lagu dapat ditakrifkan sebagai gubahan suara dalam urutan, kombinasi, dan hubungan temporal untuk menghasilkan gubahan muzik yang mempunyai kesatuan dan kesinambungan. Muzik dan lagu menjadi bahagian daripada budaya dan sistem sosial masyarakat. Sama ada penghasilan mahupun persembahannya, muzik tetap merupakan sebahagian daripada perlakuan anggota masyarakat (Zainal Kling, 1990).

    Menurut Rahmah Bujang (1999), lagu rakyat masyarakat Melayu adalah lagu-lagu atau nyanyian yang berasal dari sesuatu kawasan dalam Alam Melayu. Lagu rakyat kebiasaanya berkait rapat dengan alam semula jadi seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia. Manusia yang dimaksudkan di sini adalah budaya masyarakat Melayu terhadap lagu rakyat itu sendiri. Misalnya, lagu rakyat dinyanyikan ketika mendodoikan anak, hiburan setelah penat bekerja dan juga semasa majlis-majlis keraian, didendangkan secara berkumpulan atau berseorangan. Kanak-kanak juga bermain sambil menyanyi sama ada untuk menghiburkan hati sambil berayun di buaian berseorangan atau dengan kawan-kawan. Ada juga lagu yang menjadi sebahagian dari permainan kanak-kanak.


Tepuk amai-amai, belalang kupu-kupu
Tepuk ramai-ramai, emak upah susu
Susu lemak manis, santan kelapa muda
Adik jangan menangis, emak pergi kerja

    Tepuk amai-amai juga satu salah lagu kanak-kanak yang terkenal dan mempunyai banyak kelebihan kepada kanak-kanak sejak dari dahulu. Nilai yang ingin disampaikan melalui lagu Tepuk Amai-Amai adalah kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Kasih sayang dan cinta seorang ibu kepada anaknya tidak akan terbalas dan tidak akan ternilai dengan apa pun. Perjuangan seorang ibu untuk seorang anak sangat luar biasa. Ketulusan dan kesabarannya dalam menjaga seorang anak sejak daripada kandungan sembilan bulan sehingga anak tersebut dewasa dan bahkan hingga si anak sudah berkeluarga. Ibu adalah insan yang melahirkan kita didunia ini dan setiap permulaan kehidupan manusia adalah bermula dengan ibu. Nabi Muhammad sangat menekankan hal yang berkaitan dengan perintah mentaati ibu. Buktinya dapat dilihat dalam potongan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:

“Seseorang datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ibumu!” Dan orang tersebut kembali bertanya: “Kemudian siapa lagi?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ibumu!” Orang tersebut bertanya kembali: “Kemudian siapa lagi?” Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali: “Kemudian siapa lagi.” Nabi s.a.w. menjawab: ‘Kemudian ayahmu.”

    Berdasarkan potongan hadis di atas, jelaslah bahawa baginda Rasulullah meletakkan ibu sebagai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam. Buktinya, dilafazkan ibu sebanyak tiga kali kemudian barulah dilafazkan bapa. Ini menunjukkan betapa Islam mengutamakan darjat seorang ibu.

    Menurut Imam ibn Battal dalam kitab Fathul Bari Syarh Sahih Bukhari karangan Al-Hafiz Ibn Hajar, hikmah baginda Rasulullah menyebut lafaz ibu sebanyak tiga kali adalah kerana lafaz yang pertama mewakili kesusahan ibu ketika mengandungkan bayi. Manakala pada lafaz ibu yang kedua adalah mewakili kesusahan yang perlu dihadapi oleh ibu semasa proses melahirkan bayi dan pada lafaz yang ketika adalah mewakili kesusahan yang dihadapi oleh ibu semasa menyusukan dan menguruskan bayi yang mana ianya hanya dialami oleh si ibu sahaja. Namun begitu, Islam tidak menafikan hak sebagai seorang ayah. Anak harus menghormati ayah seperti mana dia menghormati ibu kerana ayahlah yang bertanggungjawab membesarkan dan memberi pendidikan yang secukupnya kepada anak. Tanggungjawab ini merupakan satu tanggungjawab yang dilakukan bersama oleh ibu dan ayah.

    Selain itu, pertalian di antara ibu bapa dan anak ialah salah satu hubungan yang paling kuat yang dianugerahkan Tuhan kepada setiap mahkluknya. Kasih sayang antara lelaki dan wanita tidak kekal, tetapi berlainan dengan ikatan ibu dan anak. Hal ini kerana sebaik sahaja ibu menjalin ikatan dengan bayinya, mereka berdua akan terikat untuk sepanjang hayat. Setiap ibu di alam ini akan menyayangi anak masing-masing. Perkara ini jelas dapat dibuktikan melalui pengorbanan ibu ketika mengandung, melahirkan, menyusu, menjaga dan membesarkan seorang anak. Impian para ibu pasti adalah ingin anak yang dikasihinya membesar dengan sihat dan sempurna.

    Kesimpulannya, kita sebagai anak sangat dituntut untuk menghormati ibu bapa. Terdapat banyak pengorbanan ibu bapa dari segi masa, harta, tenaga, dan nyawa demi melihat kita membesar dengan bahagia dan berjaya. Segala pengorbanan ini tidak mampu kita balas. Mereka yang membesarkan kita dari kecil sehingga besar. Anak yang menyanjung tinggi kedua ibu bapanya merupakan anak yang mendapat keredhaan Allah. Buktinya, mereka memperolehi kehidupan yang bahagia dan dimudahkan segala urusan mereka. Jiwa mereka juga sentiasa tenang dan tenteram kerana selalu didoakan oleh kedua ibu bapa mereka atas kebaikan yang mereka lakukan. Selain itu, mereka juga akan dihormati oleh semua makhluk sama ada makhluk di bumi dan juga makhluk di langit.

    Dalam lagu ini juga, kanak-kanak di ajar pergerakan dan gaya ‘tepuk’. Pergerakan ini melambangkan kegembiraan ketika menyanyikan lagu tersebut. Ia bukan sekadar perbuatan biasa supaya kanak-kanak berasa seronok dan terhibur, ia juga membantu perkembangan motor dan kognitif kanak-kanak. Pergerakan ketika menyanyi dapat merangsang minda serta membina emosi gembira dan secara tidak langsung membentuk perkembangan dan personaliti yang positif.

    Lagu ini mempunyai fungsi pendidikan, fungsi permainan dan juga fungsi memujuk. Lagu ini dinyanyikan apabila kanak-kanak sudah boleh membuka dan menutup tangan. Kanak-kanak akan diajar untuk menepuk tangannya mengikut lagu yang dinyanyikan. Sebenarnya, ia akan membantu menguatkan otot-otot jari dan tangan kanak-kanak. Jadi mereka dapat menggayakan tangannya setiap kali lagu ini dinyanyikan dengan sendiri. Melalui proses itu, lagu tersebut juga boleh menggembirakan dan meningkatkan keyakinan diri mereka. Akhir sekali lagu Tepuk Amai-Amai juga berfungsi sebagai lagu memujuk kanak-kanak yang menangis ketika ketiadaan ibu mereka.

Kepelbagaian jenis muzik berguna untuk masa depan bayi kerana ia memupuk kemahiran menulis, membaca dan perbahasan. Lagu kanak-kanak juga memberi perkembangan yang sihat kepada kanak-kanak, termasuklah dari segi fizikal, mental dan emosi. Lagu kanak-kanak dicipta untuk menyampaikan cerita fiksyen serta aktiviti nyanyi yang dipelajari kanak-kanak semasa di sekolah atau di rumah. Tambahan lagi, lagu kanak-kanak juga dapat meningkatkan keupayaan intelektual kanak-kanak. Hal ini adalah kerana, ada sesetengah lagu kanak-kanak dicipta untuk menyampaikan pengetahuan baharu atau berunsurkan pendidikan kepada kanak-kanak. Lagu-lagu ini akan merangsang daya pemikiran kanak-kanak apabila menyanyikannya secara berulang kali.

 Selain itu, lagu kanak-kanak juga dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak apabila bernyanyi dan membantu mereka dalam sebutan sesuatu perkataan. Sebutan yang dinyanyi akan membetulkan sebutan sesuatu perkataan itu secara jelas dan tepat. Dalam lagu kajian iaitu Tepuk Amai-Amai, boleh dilihat bahawa lagu ini adalah satu bentuk lagu yang berbentuk pujukan yang diikuti dengan pergerakan tepukan. Kebiasannya, lagu ini dinyayikan oleh si ibu untuk memujuk anak yang sedang menangis. Gerakan tepukan dalam lagu ini adalah untuk menunjukkan emosi gembira dan seterusnya membuatkan kanak-kanak terhibur dengan pergerakan tersebut dan berhenti menangis.

Pendek kata, bukan hanya lagu Tepuk Amai-Amai, tetapi juga lagu kanak-kanak Melayu yang lain mempunyai fungsi dan nilai yang mustahak kepada keluarga Melayu bahkan seluruh masyarakat Melayu. Dalam lagu kanak-kanak, ibu-bapa dan ahli keluarga boleh menyampaikan prinsip asas masyarakat dan juga harapan mereka kepada anak-anak. Dengan mendengar lagu kanak-kanak, budak-budak akan hafal prinsip itu dengan baik secara tidak sengaja dan berkembang menjadi orang-orang yang bersopan.

Yang paling penting adalah lagu-lagu kategori ini bermain peranan yang penting dalam memperkenalkan kebudayaan tradisional Melayu, apa yang sedang dicabar oleh kebudayaan Barat supaya ahli masyarakat Melayu menjaga lagu kanak-kanak Melayu dengan baik. 






Rujukan:

Al-Tirmizi dalam Sunannya. Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada Keredhaan ibubapa (hadis no: 1899). dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (hadis no: 515).

Hafiz Firdaus Abdullah. (2006). Wahai Ibu! Wahai Ayah! Perniagaan Jahabersa. Johor Darul Takzim



 



Post a Comment

0 Comments