5 Perkara Yang Tidak Perlu Dikongsi di Sosial Media


Ada banyak perkara yang ingin kita kongsikan bersama rakan-rakan lebih lebih lagi kita sekarang berada dalam zaman kemodenan yang hidupnya tanpa sempadan.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang kita tidak seharusnya berkongsi dan biarlah menjadi privasi hidup kita. 

Berikut adalah lima perkara yang tidak perlu dikongsi di sosial media. 

1. Ibadah


Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita hendaklah menyembunyikan amal jariah serta ibadah kita. Biarlah keikhlasan kita hanya dinilai oleh Allah s.w.t sahaja. Jika ingin menjadikannya sebagai tauladan, biarlah berpada-pada. Ibadah ini disembunyikan supaya kita dapat mengelakkan daripada sifat riak. Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa riya' ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. Rujuk Mafatih-al Ghaib.(32/301)


2. Perderitaan percintaan 

Ingatlah bahawa bukan kita sahaja yang mempunyai masalah tentang perasaan dan kisah percintaan ini. Kita hanyalah titik kecil daripada semua makhluk di muka bumi. Tentang penderitaan percintaan biarlah kita simpan di dalam hati kecil kita dan mendoakan semoga disatukan bersama seseorang yang baik. Terkadang kita hanyalah menjaga jodoh orang lain. Eh?


3. Masalah rumahtangga


Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Tidak perlu dicanang aib rumahtangga dan keburukan keluarga di dalam sosial media. Janganlah bercerita tentang masalah fizikal suami dan isteri, cara layanan dan sebagainya. Postingan berikut mungkin akan mendapat perhatian dan kata-kata sokongan tetapi apa yang ada di dalam hati setiap insan, hanya Allah sahaja yang tahu. Jagalah aib keluarga, suami serta isteri, keluarga mertua, dan adik-beradik. Kita hanya nampak sempurna kerana Allah masih melindungi aib kita. Sekiranya terbuka aib sendiri, apa agaknya yang terjadi kepada diri kita? 


4. Sedekah

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:"Ada tujuh golongan yang akan dinaungi Allah SWT dalam naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya. Di antaranya, seorang yang mengeluarkan suatu sedekah, tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya."(Hadits diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Oleh yang demikian, bersedekahlah dengan sembunyi-sembunyi dan ikhlaskanlah dengan hati yang suci murni. Tidak ada kerugian pun kepada individu yang berbuat amal secara sembunyi. Dan jangan pula menghakimi seseorang sekiranya mereka tidak menyembunyikan amalan mereka. Cuba fikir yang baik-baik, dan yang datang semuanya akan baik-baik saja. 


5. Pendapatan


Maklumat pendapatan kita adalah maklumat yang sulit dan peribadi. Selain mengelakkan kita daripada bersifat riak, ia juga dapat menyelamatkan kita daripada bahaya yang ada pada era teknologi ini. Jangan sesuka hati show off seberapa banyak pendapatan kita kerana ada mata-mata yang sedang memerhati. Selain daripada itu, mungkin juga ada segelintir yang berpendapatan lebih rendah yang sangat menginginkan kehidupan yang baik seperti kita. Tidak perlu kita menyakiti hati seseorang hanya kerana ingin menunjukkan kebahagiaan yang kita punya. Bahagiakah hidup sekiranya kebahagiaan kita adalah kesakitan daripada orang lain?




Baca juga: Best Advice in 4 Words (Malay Version)

Post a Comment

8 Comments