Definisi Percampuran Kod (Code Mixing)



Percampuran kod (code mixing) merupakan satu fenomena biasa dalam kalangan mereka yang boleh berbahasa lebih daripada satu. Percampuran kod berlaku apabila seseorang bertutur dengan mencampuradukkan bahasa atau dialek dengan bahasa yang lain atau antara satu dialek dengan dialek-dialek yang lain. Fenomena ini sangat berleluasa di Malaysia kerana terdapat pelbagai bahasa dan dialek sebagai contoh bahasa Melayu, Cina, Tamil dan suku kaum yang lain.


P. Balasubramaniam (1988: 197) mendefinisikan campur kod sebagai "satu proses pemindahan unit-unit linguistik seperti imbuhan dan perkataan dari satu kod bahasa ke kod bahasa yang lain." Bokamba (1988: 44) pula mendefinisikan campur kod sebagai penggunaan pelbagai unit linguistik seperti frasa dan perkataan daripada dua sistem tatabahasa yang berlainan dalam satu ayat. Nik Safiah Karim (1990) pula berpendapat bahawa percampuran kod merupakan suatu pencemaran yang salah kepada bahasa Melayu pada peringkat formal. Abdullah Hassan (2007) mengatakan bahawa percampuran kod merujuk penutur bahasa Melayu yang menggunakan bahasa yang bercampur aduk, contohnya bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.


Percampuran kod menurut Bokamba bermaksud penggunaan berbagai-bagai unit linguistik seperti imbuhan, kata, frasa dan klausa daripada dua sistem tatabahasa yang berlainan dalam satu ayat. Percampuran kod ini memerlukan minimum dua bahasa yang peraturannya diintergrasikan dalam satu ayat. Manakala Poplack pula menjelaskan bahawa percampuran kod biasanya berlaku di satu titik dalam satu ayat. Titik percampuran kod berada dalam lingkungan struktur permukaan dua bahasa yang dipadankan bersama. Contohnya, orang yang sedang bercakap dalam bahasa Melayu memasukkan unsur-unsur bahasa yang lain seperti bahasa Melayu Standard dicampuradukkan dengan dialek-dialek Melayu dan bahasa Inggeris. Ini kerana penutur beranggapan bahawa pendengar juga sepertinya yakni faham dan fasih dalam kedua-dua bahasa.


Gan (2000) dalam kajiannya membincangkan percampuran kod yang sering berlaku dalam teks berita hiburan akhbar Cina di Malaysia. Beliau telah mengkaji kelas-kelas kata bahasa Inggeris dan item leksisnya yang dicampurkan dalam berita hiburan bahasa Cina serta faktor-faktor yang mengakibatkan item-item leksis bahasa Inggeris dicampurkan secara interlingual ke dalam berita hiburan akhbar bahasa Cina. Hasil daripada kajiannya, beliau mendapati bahawa akhbar-akhbar bahasa Cina cenderung mencampuradukkan kata-kata bahasa Inggeris dalam berita hiburan kerana ianya membolehkan berita tentang artis, pelakon dan peristiwa dalam bidang hiburan disampaikan secara cepat dan menarik kepada golongan pembaca. Menurutnya, kata-kata akronim bahasa Inggeris seperti "MV", "CD" dan "VCD" dicampurkan ke dalam ayat berita hiburan bertujuan untuk memenuhi kehendak pembaca disamping menjimatkan masa.



Post a Comment

0 Comments