Apa itu Retorik dalam Bahasa Melayu?

 

Retorik ialah satu bidang sublinguistik yang penting kepada penutur bahasa (tidak semestinya bahasa Melayu). Retorik dapat membantu pengarang atau pengucap untuk menyampaikan pendapat, idea atau saranan dengan lebih berkesan dan mampu menarik minat pendengar mahupun pembaca. Ianya merupakan aspek penting untuk memperngaruhi pembaca atau pendengar melalui ciri-ciri bahasa yang bergaya dan menarik. Ada sesetengah pengucap atau pengarang ini lebih mengutamakan gaya yang beremosi sebagai daya penarik pengucapan mereka. 


        Menurut Lin (2007), retorik merupakan satu sudut pandang untuk mentafsir dan mengungkapkan realiti yang berubah dari masa ke masa. Retorik ini mengkaji penggunaan strategi interpretatif dan ekspresif untuk menangani kehidupan di dunia ini. Setiap bahasa yang wujud akan memperlihatkan penggunaan gaya retorik dan mempengaruhi atau menguasai penutur bahasa tersebut. 

    Aristotle dalam bukunya yang bertajuk Rhetoric (Oka, 1976:8) menyatakan "Setiap orang ada memanfaatkan retorik menurut kemampuan masing-masing, ketika mereka bertutur". Oleh itu, retorik telah menjadi satu lapangan kajian yang menarik pada akhir tahun 20-an dan sebelumnya. Namun begitu, dalam buku Retorik Penulisan Dakwah terbitan Universiti Malaya pula menyatakan, "Retorik merupakan bidang yang kurang difahami khalayak dan beranggapan retorik sebagai kaedah yang boleh menyelewengkan atau memanipulasi sesuatu isu agar diterima oleh masyarakat walaupun tidak benar."

        Gusfield (1992) pula berpendapat bahawa retorik lebih tertumpu kepada kajian pemujukan yang umum, sama ada dalam bidang sains mahupun sastera. Usaha untuk memujuk dan meyakinkan  satu-satu khalayak menampakkan kehadiran retorik, sama ada digunakan secara langsung atau tidak langsung, tegas Gusfield. Retorik baharu lebih tertumpu kepada peninggalan kesan jangka panjang ke atas khalayak. Selain itu, retorik perlu diterapkan ke dalam wacana sains sosial sebagai kajian penghujahan dan pemujukan yang mencakupi pelbagai sudut interaksi manusia, kaedah pendalilan dan emosi. 

        Retorik juga dikenali sebagai seni yang digunakan untuk mendapatkan keyakinan seseorang melalui wacana bahasa (Lanham,1991). Selain itu, Raminah Sabran (2002) menyatakan retorik amat penting kepada pengarang untuk membantunya menterjemah idea dalam bentuk tulisan dengan baik dan berkesan. Nor Husna Abd. Razak (2011) yang menganalisis retorik dalam iklan juga mendapati pengiklan menggunakan pelbagai struktur ayat yang bersfat retorik untuk memastikan iklan yang dihasilkan mempunyai daya penarik dan berkesan. 

        Kesimpulannya, retorik digunakan dengan matlamat untuk menarik minat pembaca mahupun pendengar. Retorik merupakan elemen penting bagi pengarang untuk membantu menggunakan bahasa secara berkesan dan mempengaruhi fikiran, sikap, emosi dan pendirian pembaca terhadap penulisan atau pengucapan yang dihasilkan. 


Baca juga: Apa itu Terminologi?

Post a Comment

0 Comments