Apa itu Sintaksis Bahasa Melayu

     

    Bahasa Melayu merupakan bahasa yang unik. Bahasa Melayu wujud dari beberapa peringkat dalam menghasilkan tatatingkat yang terakhir iaitu ayat. Bidang sintaksis adalah satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan ayat. Bidang sintaksis ini merangkumi frasa, klausa dan ayat. Dalam bidang ini kita dapat mempelajari bagaimana untuk memulakan ayat dan membina ayat dengan menggunakan tatabahasa yang betul.

    Menurut Nik Safiah Karim dan rakan-rakan dalam bukunya Tatabahasa Dewan, sintaksis ialah satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Selain itu, kita juga dapat faham bahawa bidang sintaksis juga ialah satu bidang yang mengkaji tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

    Melalui bidang sintaksis inilah kita sebagai penutur bahasa Melayu dapat mengetahui keunikan bahasa Melayu ini dengan lebih mendalam. Maka, kita haruslah bangga dengan bahasa yang kita ada kerana bahasa Melayu ialah bahasa yang paling senang difahami dan mempunyai pelbagai sebab kenapa kita harus bangga dengan bahasa kebangsaan kita sendiri.

    Perkataan sintaksis berasal daripada perkataan Yunani iaitu sun yang bererti dengan dan ‘tattein’ yang bererti menempatkan kata-kata secara bersama untuk menjadi kelompok kata iaitu ayat. Kata suntattein ini kemudian menjadi istilah syntaxis dalam bahasa Belanda, dan syntax dalam bahasa Inggeris.

    Sintaksis ialah bidang dalam peringkat susunan binaan yang amat penting dalam apa jua bahasa. Sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat (Nik Safiah Karim et.,1993:317). Abdullah Hassan (1980: 164) pula berpendapat sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi klausa dan ayat merupakan unit terbesar. Sintaksis merupakan satu kajian tentang bagaimana penyusunan perkataan untuk membentuk frasa, klausa dan ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Selain itu, kajian sintaksis juga melibatkan aspek perbezaan binaan ayat. A. A Fokker (1980) pula mentakrifkan ayat merupakan ucapan bahasa yang mempunyai makna dan batasan keseluruhannya ditentukan oleh intonasi suara.

    Syarifah Nor Syed  merujuk kepada Bahasa Melayu Teks Rujukan Lengkap STPM, sintaksis dijelaskan sebagai satu bidang ilmu bahasayang mengkaji proses pembinaan ayat. Kajian yang dimaksudkan ialah merangkumi kajian tentang hukum tatabahasa berkaitan kaedah pengabungan dan penyusunan perkataan untuk menghasilkan sesuatu ayat yang gramatis dan bermakna. Dr Ali Mahmood dan Munsyi Zainal Abidin Kasim dalam buku Morfologi dan Sintaksis Bahasa Melayu menerangkan bahawa sintaksis ialah satu cabang ilmu yang mengkaji bentuk, struktur dan konstruksi ayat. Sintaksis juga mengkaji proses pembinaan ayat dan hukum-hukum atau peraturan bahasa yang menentukan bagaimana sesuatu perkataan itu disusun dalam serangkai ayat yang bermakna.

    Bahasa adalah satu sistem. Hal ini demikian kerana dalam bahasa terdapat sistem bunyi, sistem bagaimana kata-kata disusun menjadi ayat dan sistem makna. Jadi, dalam bahasa terdapat tiga sistem iaitu sistem fonologi, tatabahasa dan semantik. Ayat bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.








Post a Comment

0 Comments