Faktor yang Menyumbang Kepada Pemilihan dan Pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca.



Kelemahan yang terdapat dalam bahasa-bahasa lain merupakan faktor yang menyumbang kepada pemilihan dan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca. Faktor pertama ini secara tidak langsung telah memartabatkan bahasa Melayu dengan peranan yang tidak boleh dimainkan oleh bahasa-bahasa lain.

Bahasa Jawa


Pic by Bayu Buana 


Bahasa Jawa dan bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun yang tergolong kepada bahasa Indonesia. Bahasa Austronesia tergolong dalam bahasa Nusantara (Nor Hisham Osman, 2001). Bahasa Jawa tergolong dalam bahasa Pulau Jawa dan sekitarnya di bawah bahasa Nusantara. Pada abad ke-11, kerajaan Majapahit yang menjajah Tanah Jawa telah menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa kebangsaaan. Bahasa Jawa dan bahasa Sanskrit mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu bahasa ini hanya digunakan oleh golongan yang spesifik sahaja.

Bahasa Jawa bersifat tatatingkat. Ini menunjukkan bahawa bahasa Jawa sukar dikuasai golongan umum. Khususnya, bahasa Jawa mempunyai istilah yang berbeza-beza. Hal ini bergantung pada status yang bersangkutan dan lawan bicara seperti umur, kedudukan social dan lain-lain lagi. Bentuk istilah-istilah ini mempunyai tiga bentuk utama variasi – ngoko (kasar), madya (biasa), krama (halus). Varian seperti tataingkat dan perbezaan istilah ini mengelirukan pengguna bahasa Jawa. Golongan spesifik yang menggunakan bahasa Jawa dikenali sebagai golongan keraton – kedhaton dan bagongan. Bahasa ini digunakan oleh golongan spesifik sahaja kerana dianggap mempunyai sastera dan kebudayaan yang sangat tinggi (Ismail Hussein, 1966:25). Oleh itu, golongan bawahan dan rakyat tidak bertutur dalam bahasa ini. Disebabkan penggunaan bahasa yang terhad, ia tidak mampu untuk berkembang. akhirnya, bahasa ini tidak tersebar luas dan tidak diterima sebagai bahasa perantaraan.

Bahasa Cina
            Bahasa lama cina kerap ditutur ketika zaman awal dan pertengahan Dinasti Zhou. Sebutan perkataan pinjaman bahasa Cina dalam bahasa-bahasa  Jepun, Vietnam dan Korea, juga menyumbangkan pemandangan yang berharga. Bahasa Cina Lama mengandungi sistem bunyi yang kaya dengan penggunaan aspirasi yang membezakan konsonannya, namun barangkali tidak mempunyai sistem ton. Kerja-kerja membina semuka Bahasa Cina Lama dimulakan dengan pakar falsafah Dinasti Qing. Perkembangan bahasa Cina yang ditutur sejak zaman purba hingga masa kini amat rumit. Kebanyakan orang China utara, di wilayah Sichuan dan di kawasan luas yang meliputi Manchuria di timur laut hingga wilayah Yunnan di barat daya, menggunakan pelbagai dialek Mandarin sebagai bahasa ibunda. Meluasnya penggunaan bahasa Mandarin di seluruh China utara terutamanya kesan daripada keluasan tanah pamah di China utara. 

Bahasa Cina tidak terkenal pada zaman itu kerana bahasa cina mempunyai banyak dialek-dialek dan variasai. Tidak semua penduduk di China menutur bahasa Mandarin, walaupun ia adalah bahasa yang menjadi bahasa standard. Terdapat variasi seperti bahasa Hokkien, bahasa Cantonese dan sebagainya yang dituturkan dalam negara China. Oleh itu, terlalu banyak variasi untuk dijadi Lingua Franca pada masa itu. Bahasa Cina walapun sangat mantap, sukar di pelajari orang kerana ia mengikut intonasi dan nada sebutan apabila bertutur. Satu huruf itu terdapat hingga 4 cara sebutan dan itulah yang amat mengelirukan.
Walaupun China adalah sebuah negara yang amat kuat dan mempunyai peranan besar dalam perniagaan, ramai yang mengalami kesukaran dalam menguasai bahasa tersebut. Selain dari sebutan, mereka mempunyai huruf-huruf sendiri, tidak seperti bahasa Melayu yang menggunakan huruf-huruf rumi.

 Pedagang nadi Melaka

Melaka telah menjadi pusat perdagangan yang terbesar di nusantara disebabkan oleh kedudukan strategiknya. Para pedagang dari segala pelusuk dunia datang ke Melaka untuk berdagang. Ini termasuklah pedagang-pedagang dari pelbagai kota termasuk Cina, India dan negara Eropah seperti Inggeris dan Belanda. Jenis barangan yang menjadi dagangan juga pelbagai dan menjadi keperluan serta kegunaan manusia. Sebagai contoh, bahan-bahan untuk memasak seperti gula, garam dan bijiran. Begitu juga barang keperluan lain seperti kain-kain, pinggan dan mangkuk, tembikar, batu permata dan barang kemas wanita yang diperbuat daripada emas. Barang dagangan lain yang telah menjadi permintaan dari negara tersebut. Namun begitu, beras telah menjadi bahan perdagangan pertama dan paling banyak diperdagangkan ke negara Asia memandangkan ia telah merupakan makanan utama para penduduk Asia.

 Faktor Geografi Melaka

Bagi tujuan menjelaskan sebab bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa lingua franca melalui faktor geografi, terutamanya di Selat Melaka, perkara penting yang perlu diketahui ialah peranan yang dimainkan oleh selat tersebut sebagai pusat perdagangan agung. Kedudukan Selat Melaka adalah strategik, iaitu berada di persimpangan perjalanan perdagangan antara China di timur dan India di Barat. Oleh itu, para pedagang dari China dan India yang hendak berdagang sesama mereka perlu melalui Selat Melaka dan singgah di pelabuhan yang berada di sepanjang selat tersebut, seperti di Pelabuhan Melaka sendiri. Selain kedudukan yang strategik, pelabuhan Melaka juga dibantu oleh faktor geografi lain, seperti fenomena musim angin monsun. Hal ini kerana perdagangan antara Barat-Timur dengan Selat Melaka amat terikat dan ditentukan oleh arah aliran musim tiupan angin (Alan Villiers, 1952). Keadaan ini juga dilihat sebagai faktor penyatuan pedagang-pedagang dari China, india, dan Asia tenggara apabila mereka berkumpul di pelabuhan Melaka sementara menanti peralihan angin. Selain pengumpulan para pedagang, Melaka juga secara tidak langsung menjadi tempat pengumpulan pelbagai jenis barang dagangan yang dibawa seperti rempah-ratus. Kemunculan Melaka sebagai tempat mendapatkan pelbagai jenis barang dagangan pula menarik minat pedagang dari rantau lain, seperti Eropah untuk turut singgah berdagang di Melaka. Gabungan faktor-faktor geografi ini telah memainkan peranan kepada aktiviti perdagangan yang rancak di Melaka.

Selepas bertapaknya pusat perdagangan yang maju di Melaka, barulah perihal mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca boleh dibincangkan. Seperti yang telah dinyatakan, perdagangan yang berlaku di Melaka melibatkan pedagang yang berasal dari negara yang berbeza, yang sudah pasti menggunakan bahasa yang berbeza. Malah, dikatakan bahawa terdapat 59 suku kaum yang berada di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, yang menuturkan 84 bahasa berbeza, (Tome Pires, 1990). Oleh itu, secara logiknya, satu bahasa yang boleh difahami oleh penutur dan pendengar perlu digunakan untuk melicinkan urusan perdagangan yang sudah pasti memerlukan komunikasi dua hala yang berkesan. Dalam hal ini, bahasa Melayu merupakan pilihan yang baik berdasarkan beberapa sebab. Salah satu Sebab ialah bahasa Melayu sudah sedia ada menjadi bahasa yang digunakan untuk komunikasi di Melaka. Kenyataan ini bermakna bahasa Melayu boleh dikatakan difahami oleh majoriti orang di Melaka. Selain itu, bahasa Melayu juga terbukti mudah dipelajari. Salah satu sebab yang menjadikannya mudah dipelajari adalah kerana sistem ejaannya yang mudah, iaitu mengeja sebagaimana disebut. Hal ini sangat berbeza dengan sistem ejaan dan sebutan bahasa lain seperti bahasa Inggeris yang lebih rumit.

Namun demikian, faktor paling penting yang menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca melalui aktiviti perdagangan yang disumbangkan oleh faktor geografi yang baik ialah komitmen pemerintah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perdagangan. Misalnya, pedagang perlu mendapatkan surat kebenaran berdagang yang ditulis dalam bahasa Melayu daripada kerajaan Melaka sebelum dapat menjalankan aktiviti tersebut. Selain itu, Undang-undang Laut Melaka yang menjadi sumber perundangan untuk mengawal selia aktiviti perdagangan dan menjamin keselamatan serta keamanan para pedagang juga ditulis dalam bahasa Melayu. Langkah ini menggalakkan para pedagang asing untuk belajar bahasa Melayu supaya mereka turut dapat berdagang dengan lancar di Melaka. Malah, pada ketika itu, pengetahuan berbahasa Melayu dianggap sebagai penting oleh para pedagang supaya mereka boleh mendapatkan keuntungan yang lebih banyak kerana komunikasi yang berlaku akan bertambah lancar.


Menyedari kepentingan bahasa Melayu pada ketika itu, ada para sarjana Barat yang telah menghasilkan kamus bahasa Melayu untuk rujukan para pedagang yang hendak belajar bahasa Melayu. Antara kamus yang terawal ialah Kamus Melayu-Itali yang disusun oleh seorang sarjana Itali bernama Pigafetta. Terdapat juga Kamus Melayu-Belanda yang disusun oleh Pedrich Houtman. Tidak ketinggalan juga ialah Daftar Kata Cina-Melayu yang disusun oleh orang Cina yang berada di Melaka. Daftar kata ini telah diberi nama “Man La Jia Gui Yi Yu” yang bermaksud “Senarai Perkataan Negeri Melaka” (Liang Liji, 1994). Kamus-kamus yang dinyatakan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu sangat penting dalam kalangan pedagang asing. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu telah mencapai martabat yang tinggi sebagai lingua franca yang dipersetujui penggunaannya pada zaman kegemilangan Melaka sebagai pusat perdagangan terkemuka

Kahwin campur Melayu-Cina; Melaka Baba-Nyonya
Para pedagang telah datang dari pelbagai negara untuk berdagang di Selat Melaka kerana kedudukannya sangat strategik sebagai pusat dagangan. Oleh kerana terlalu lama berada di Melaka dan sering berulang alik ke situ atas urusan perdagangan, para pedagang ini telah berkahwin dengan masyarakat Melayu di situ. Justeru itu di Melaka, terbentuklah satu komuniti masyarakat Melayu-Cina atau dengan panggilan rasminya Baba-Nyonya. Keturunan ini kebanyakannya berasal dan terdapat di Negeri Selat Tanah Melayu, khususnya di Melaka. Mereka menggelar diri dan keturunan mereka sebagai "Baba" yang membawa maksud "Peranakan" kerana kebudayaan mereka berasal daripada warisan tradisi Cina yang berunsur pengaruh daripada budaya orang Melayu. Kebanyakan mereka masih menganut agama Cina dan Buddha yang telah menjadi tradisional untuk dikekal, namun ramai juga yang telah memeluk agama lain seperti Kristian. Dari segi bahasa, mereka yang berada di Melaka fasih bertutur dalam bahasa Melayu oleh kerana mempunyai pertalian darah berketurunan Melayu. Selain bahasa Melayu, mereka bertutur dalam bahasa Hokkien.

Contoh; 
Saya = Gua (bahasa Hokkien)
Dia= Dia (bahasa Melayu)
Anda = Lu (bahasa Hokkien)
Kita = Kita (bahasa Melayu)

Orang-orang Cina yang singgah di alam Melayu bukan sahaja pedagang tetapi juga mereka ingin belajar agama Budha di India. Semasa singgah di beberapa pelabuhan di Kepulauan Melayu ini ada yang mencatat perkataan Melayu yang didengari oleh mereka. Barang-barangan yang banyak dan menjadi kebiasaan sebagai barang dagangan keperluan, kegunaan dan barangan mewah telah menjadikan kegunaan bahasa Melayu sering digunakan dan menjadi kebiasaan. Maka itu Kaum Cina telah mengambil masa yang lama dan bertahun-tahun untuk mengumpulnya dan menjadikan daftar kata Cina-Melayu. Sedikit demi sedikit perkataan dalam bahasa Melayu yang didengari dan ditutur telah diambil. Satu senarai perkataan bahasa Cina-Melayu dipercayai telah ada dalam tahun 1403-1511M mengandungi sebanyak 482 kata masukan perkataan yang meliputi waktu, tumbuh-tumbuhan, haiwan, rumah, tubuh badan, barang emas dan permata, warna, hitungan, sejarah dan kata-kata umum. Walaupun ia baru berbentuk senarai, namun para pengkaji bahasa Melayu menganggap ia sebagai kamus pertama bahasa melayu. Daftar kata Cina-Melayu ini diberi nama Man La Jia Gui Yi Yu yang bermaksud ‘Senarai Perkataan Negeri Melaka’ (Liang Liji, 1994).

Peranan Istana Sebagai Pusat Perkembangan Bahasa Melayu
Kerajaan Melaka, Aceh dan juga Johor Riau telah menjadikan istana sebagai pusat rujukan, pusat pengembangan ilmu dan juga agama. Ini jelas dengan hadirnya para ilmuwan yang ternama yang juga merupakan golongan pembesar istana. Tun Seri Lanang iaitu Bendahara Melaka telah menghasilkan karya yang bertajuk Sejarah Melayu. Di dalam karyanya tersebut beliau telah menceritakan tentang susur galur pembesar Melaka. Beliau juga telah menggunakan bahasa yang amat tinggi tarafnya dalam karyanya. Selain itu, beliau juga telah pergi ke Aceh dengan tujuan untuk menuntut ilmu dari segi agama dari Syeikh Nurruddin Al-Raniri dan mereka berdua mula bertukar ilmu. Amalan pertukaran ilmu di dalam istana ini membawa banyak kesan yang baik kerana ia membantu dalam membina ilmuwan dalam kalangan golongan istana.

Bagi Kerajaan Aceh pula, mereka telah menghasilkan dua jenis pemahaman iaitu Wahdatul Wujud dan Wahdatul Syuhud. Disebabkan dua pemahaman yang berbeza tersebut, ia telah memecahkan golongan para pembesar istana. Hal ini juga telah dapat menghasilkan tokoh-tokoh dan karya-karya syair serta kitab panduan agama yang membincangkan tentang ketuhanan. Ini dapat dilihat daripada penulisan Hamzah Fansuri dalam Syair Perahu yang digunakan untuk menasihati anak-anak supaya mentaati ajaran Islam. Selain itu, terdapat juga kitab saduran Parsi yang bertajuk Tajus Salatin tulisan Bukhari Al-Jauhari yang juga bermaksud “Mahkota Raja-Raja”. Daripada kitab tersebut, ia memberi bantuan dan tunjuk ajar kepada raja-raja dan rakyat tentang cara-cara pemerintahan yang adil. Walaupun karyanya ditulis dalam bahasa Jawi, ia tetap menggunakan Bahasa Melayu. Disebabakan karya-karya tersebut telah disebarkan di seluruh kepulauan Nusantara bagi kegunaan setiap kerajaan ia telah membuat Bahasa Melayu sebagai lingua franca.

Raja Ali Haji dari Pulau Penyegat, Riau telah menghasilkan Bustan Al-Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa pada abad yang ke-19. Selain itu, Muhammad Ibrahim Bin Ibrahim Bin Abdullah Munsyi juga telah menghasilkan sebuah karya bertajuk Pemimpin Johor pada abad yang sama. Bustanul Katibin mengandungi isi kandungan dari aspek bahasa seperti tatabahasa dan juga tentang pengajian Bahasa Melayu dari sudut Islam. Kitab Pengetahuan Bahasa pula merupakan satu langkah awal bagi menghasilkan kamus Bahasa Melayu. Oleh itu, daripada kehasilan karya-karya tersebut, ia telah membantu dalam menyebarkan Bahasa Melayu secara luas di Nusantara. Justeru, ia menunjukkan bahawa Bahasa Melayu dapat diiktirafkan sebagai lingua franca kerana ramai orang dapat memahami dan menguasai Bahasa Melayu.

Bahasa Rasmi Kerajaan Melayu Dan Penggunaannya Yang Meluas
            Perkembangan bahasa Melayu melalui batu bersurat telah berakhir pada abad ke 14. Pada awal abad ke 15, zaman kegemilangan Melaka memuncak apabila kerajaan Melayu Melaka apabila kerajaan tersebut menjadi pusat tumpuan ekonomi pada ketika itu. Kerajaan Melayu Melaka yang berpengaruh telah menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan alat perkembangan kesusasteraan Melayu dan bahasa Melayu. Pada zaman tersebut istana telah digunakan sebagai tempat perkembangan bahasa seterusnya menjadi pusat pertumbuhan kesusasteraan Melayu seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Ali Hanifah seperti yang terkandung dalam buku Sejarah Melayu Bahasa Melayu juga digunakan sebagai alat penghubung antara raja-raja Melayu dengan kerajaan Eropah seperti dalam tujuan mengutus surat dan sebagainya. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah yang menghimpunkan pelbagai pedagang dari serata dunia dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan barang dagangan mereka. Oleh itu, demi mendapat tempat dalam perdagangan yang pesat di Melaka, pedagang dari Eropah seperti Inggeris dan Belanda terpaksa mempelajari bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan raja-raja kerajaan Melayu. Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru, iaitu tulisan jawi atau abjad arab yang digunakan secara meluas di Melaka dan kepulauan Melayu yang lain.

Bagi membuktikan penggunaan bahasa Melayu yang meluas, ia boleh dilihat menerusi beberapa utusan surat-menyurat antara kerajaan bukan kerajaan Melayu Melaka. Antara surat terawal yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan adalah surat Raja Ternate Sultan Abu Hayat kepada Raja Portugal pada sekitar abad 16 pada tahun 1521 dan 1522. Kerajaan Ternate mempunyai bahasa pengantar kerajaan mereka sendiri dan Raja Portugal pula berbahasa Portugis, namun begitu surat yang diutuskan oleh Sultan Abu Hayat kepada Raja Portugal adalah dalam bahasa Melayu. Isi kandungan surat tersebut adalah untuk memberitahu Raja Portugal bahawa Raja Jailolo dan Raja Tindore diarahkan oleh Raja Ambon untuk membunuh Francisco Serra. Pada tahun 1522, Raja Portugal menerima sebuah lagi warkah utusan daripada Raja Ternate Sultan Abu Hayat dalam bahasa Melayu. Warkah kedua tersebut menceritakan  bahawa Sultan Bayan Sarallah telah meninggal dunia. Turut dimaktubkan dalam surat tersebut adalah dua buah kapal Raja Castella telah datang dengan senjata meriam untuk melindungi Bandar Ternate. Berdasarkan utusan surat-surat tersebut jelaslah bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah meluas penggunaannya kerana telah digunakan dalam urusan rasmi sebegini.

Selain itu, antara bukti yang menunjukkan penggunaan bahasa Melayu semakin meluas pada zaman tersebut adalah dengan utusan surat dari Raja Aceh, iaitu Sultan Alauddin Shah kepada Harry Middleton dalam bahasa melayu. Jika Kerajaan Melaka telah menulis Hukum Kanun (Undang-undang Melaka) untuk melindungi kerajaan dan rakyatnya maka Kerajaan Aceh pula memberi perlindungan kepada pedagang yang ingin berniaga di bawah kekuasaan Kerajaan Aceh. Ketika itu Harry Middleton ialah seorang Ketua Kapal Susan yang ingin membeli rempah. Kapal yang diketuai oleh Harry Middleton itu dianggarkan tiba di Aceh yang juga singgah di Pariaman, Sumatera Barat pada tahun 1601 M dan kembali ke England pada 21 Jun 1603. Dengan demikian, Surat Raja Aceh (Sultan Alauddin Shah) kepada Harry Middleton yang ditulis sekitar tahun 1601 M semasa kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Aceh. Bahasa yang sama juga telah digunakan di dalam surat yang ditulis oleh Raja Acheh kepada James Lancaster pada sekitar tahun 1602 M berkenaan kebenaran berniaga. Hal ini telah membuktikan bahawa penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja digunakan oleh Raja-Raja Melayu serta rakyatnya malahan digunakan oleh pembesar-pembesar kerajaan lain dalam menjalinkan hubungan diplomatik sesama mereka.




Post a Comment

0 Comments